Dr Samsuri sahkan ‘dokumen viral’ palsu

- Advertisement -

Oleh SITI NORBAITY ABD LATIF

KUALA TERENGGANU:
Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini menegaskan dokumen yang viral di media sosial sejak semalam sebagai palsu dan sampah.

Menurutnya, ia direka phak tertentu bagi mencemarkan imej PAS.

“Dokumen sampah macam tu pun ada orang percaya ke? Saya buat gelak je benda tu. Tak benar, entah datang daripada mana. Benda-benda (macam ni) sampah la bagi saya,” jelasnya yang juga Menteri Besar Terengganu.

- Advertisement -

Beliau menyatakan demikian kepada media selepas selesai program Majlis Penyerahan Bantuan Persediaan dan Pendahuluan Diri Kepada Pelajar Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Yayasan Terengganu ke Luar Negara 2022 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurutnya juga, tindakan undang-undang sukar untuk dilaksanakan dan tidak berbaloi untuk dilayan.

“Kita pun tak tahu siapa yang sebarkan dan sebagainya. Proses undang-undang ini pada saya rumit juga, back and forth kita ke mahkamah dan sebagainya, not worth untuk dilayan.

“Kalau tidak saya rasa kita tak ada kerja lain hari-hari kena buat laporan polis dan pergi mahkamah kerana orang sebar benda tak betul.

Beliau juga menafikan adanya pertemuan atas kapasiti sebagaimana disebut dalam dokumen palsu itu sebaliknya perjumpaan hanya tertumpu kepada isu lain.

“Terpulang, benda yang pada saya too good to be true macam itu tak layak untuk dilayan. Pertemuan itu dalam kapasiti berbeza. dan dicampur-campur sebab dia tahu ada pertemuan dan dia buat naratif ni,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan kewangan kepada tiga pelajar cemerlang lepasan SPM 2020 yang telah pun menamatkan Program Persediaan Jepun (Look East Policy (Japan) Programme) di Kolej INTEC Shah Alam dan dijadualkan berangkat ke Jepun pada 18 Mei ini. – HARAKAHDAILY 20/4/2022

- Advertisement -