Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
PORT DICKSON: Dewan Pemuda PAS menggariskan empat persiapan sayap utama parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ketua Dewan Pemuda PAS, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, berkata persiapan pertama ialah aspek spiritual yang kukuh dengan hubungan vertikal, iaitu hablu minallah perlu diperkasa dari semasa ke semasa.
Katanya, kedua ialah persiapan jentera yang kompeten di semua peringkat dan wajib menghadiri sesi penerangan isu semasa, latihan dan kursus di Institut Latihan Pilhan Raya PAS (ILPAS).
“Ketiga, persiapan pengundi. Kenal pasti lingkungan anak muda termasuk anak ahli dan penyokong PAS. Buat pengesahan maklumat dan profil serta membina hubungan baik yang sesuai dan interaktif.
“Akhirnya ialah persiapan aktiviti. Tugas hakiki untuk menyantuni anak muda yang pelbagai latar, kecenderungan dan identiti,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-62 di Dewan Rembau, Corus Paradise Resort di sini, hari ini.
Khairil Nizam turut menekankan kepentingan media sosial sebagai platform wajib untuk menyampaikan maklumat dan program PAS.
Sehubungan itu, katanya sebagai usaha mempersiapkan kapasiti, Pemuda PAS perlu sentiasa menganjurkan program kemahiran mengoptimumkan fungsi media sosial dengan berkesan.
Beliau turut meminta Pemuda PAS untuk melakukan transformasi pemikiran dan tingkah laku kerana PAS kini adalah komponen Kerajaan Persekutuan.
“Pemuda PAS perlu menerajui solusi bagi menangani masalah rakyat bersama kerajaan. Kita mesti agresif merakyatkan inisiatif Kerajaan Prihatin dan Keluarga Malaysia kepada rakyat. ‘Feel good factor’ (faktor perasaan gembira) rakyat kepada kerajaan mesti dibina dan diperkukuhkan.
“Tugas utama kita adalah untuk turun ke lapangan sebagai rijalud-da’wah dan rijalud-daulah. Menceritakan dasar-dasar Islam, perspektif dan pendirian PAS serta memastikan segala bantuan yang disediakan oleh kerajaan dinikmati oleh rakyat. Kita adalah mediator bukan provokator,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/21
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!