
PORT DICKSON: Perpaduan yang digagaskan PAS dengan menyatu dan mengukuhkan antara parti-parti politik bukan tanda kelemahan parti untuk bergantung kepada orang lain, tetapi kerana muafakat adalah tuntutan Allah S.W.T.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, ia bermakna perpaduan adalah tuntutan prinsip Islam, sekali gus mengingatkan parti rakan untuk tidak melakukan tindakan yang bertentangan dengannya.
Beliau merujuk tindakan parti rakan PAS yang mengumumkan untuk bertanding melawan parti ini pada PRU15 nanti, selain mengingatkan bahawa muafakat dijalin bukan untuk kerusi pilihan raya sahaja, tetapi agenda lebih besar daripada itu.
“Agenda besar kita ialah bagaimana untuk menyelamatkan negara kita dan dunia daripada kemurkaan Allah S.W.T. Maka kerana itu Allah letakkan asas al I’tisom billah sebagai syarat penyatuan itu ialah bergantung teguh dengan tali Allah S.W.T.
“Baru datang ayat wala tafarraqu. Ayat wala tafarraqu datang kedua setelah al I’tisom billah. Maka kerana itu jangan kita terpengaruh dengan agenda yang sengaja setengah-setengah orang mengambil ayat wala tafarraqu saja, jangan berpecah.
“Tapi penggabungan atau prinsip apa atau dasar apa tidak diletakkan sebagai gagasan,” peringat beliau semasa berucap merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-62 di Corus Paradise Resort, di sini sebentar tadi.
Beliau juga berpesan kepada parti-parti Melayu-Islam bahawa cabaran sedang didepani adalah sangat besar di mana PAS dengan mempunyai pengalaman panjang apabila demi muafakat sanggup mengadakan pelbagai kompromi.
Hal tersebut juga katanya, menunjukkan jiwa besar PAS yang antaranya pernah memberi kerusi Kuala Terengganu kepada Parti Negara ditandingi Dato’ Onn Jaafar dan bekerjasama dengan Tengku Razaleigh Hamzah semasa menubuhkan Semangat 46.
Tegas beliau, muafakat telah terjalin perlu terus diperkukuhkan kerana al-Quran mengajar bahawa ia bukan dari aspek bangsa dan keturunan warna kulit, tetapi dalam konteks akidah adalah menyelamatkan manusia dunia agar selamat di akhirat kelak.
Beliau dalam ucapannya itu turut menyeru pada Pemuda PAS untuk menangani sentimen-sentimen anak muda termasuk sikap anti-establishment yang membimbangkan serta menimbulkan kesenjangan di sebalik cabaran semasa.
“Pertama, sentimen untuk tidak jadi ahli parti. Yang kedua, tak mahu ada ikatan dengan dasar yang diperjuangkan oleh mana-mana parti politik. Yang ketiga sikap 28 peratus anak muda di Universiti sudah bosan dengan politik,” ujarnya.
Beliau turut menyebut beberapa perubahan yang terhasil dari desakan dan tuntutan kehidupan dunia baik di negara ini mahupun bersifat global termasuk isu-isu semakin kompleks zaman ini. – HARAKAHDAILY 30/10/2021




















