
KUALA TERENGGANU: Agenda perpaduan ummah yang menjadi asas perjuangan PAS akan terus dipertahankan meskipun berdepan pelbagai cabaran dalam kerjasama politik bersama parti-parti lain.
Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, hubungan PAS dengan Parti BERSATU serta parti-parti lain dalam Perikatan Nasional (PN) dibina atas prinsip ta’awun siyasi, iaitu kerjasama politik yang berlandaskan semangat saling membantu dalam perkara yang membawa kebaikan.
Menurut beliau, dalam fiqh siasah, konsep tersebut membolehkan kerjasama strategik dijalinkan dengan pelbagai pihak demi mencapai kepentingan bersama dan maslahat umum tanpa terikat dengan bentuk pakatan yang terlalu ketat.
Katanya, tujuan utama PAS mengadakan kerjasama politik melalui prinsip ta’awun siyasi adalah untuk mengelakkan perpecahan dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan umat Islam.
“PAS tak pernah undur setapak pun dari agenda perpaduan ummah malah banyak berkorban demi menuju kearah matlamat besar ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Lewat malam tadi, Harakahdaily melaporkan PAS secara rasmi memuktamadkan keputusan menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU berkuat kuasa serta-merta, demikian umum Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Ketetapan drastik itu dicapai setelah membincangkan kedudukan serta hala tuju parti dalam mendepani landskap politik semasa tanah air pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di Pejabat Agung PAS.
Beliau memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pertimbangan dasar, hukum dan maslahah, selain meneliti laporan serta kajian menyeluruh berhubung perkembangan mutakhir membabitkan parti sekutunya itu.
Sehubungan itu, Azman yang jugva Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, perkembangan semasa memperlihatkan wujud perbezaan pendirian apabila BERSATU dilihat mengambil sikap yang tidak lagi selari dengan hasrat memperluaskan agenda perpaduan ummah.
Menurutnya, tindakan menghalang penyertaan parti-parti lain ke dalam PN menyebabkan tujuan asal kerjasama politik yang dibentuk atas prinsip ta’awun siyasi semakin sukar direalisasikan.
“Apabila BERSATU berada pada posisi yang menjadi penghalang kepada agenda perpaduan ummah dan berkeras dengan pendirian mereka untuk menyekat kemasukan parti-parti lain ke dalam PN, maka pendirian Bersatu sudah tidak lagi seiring dengan tujuan utama ta’awun siyasi melalui PN ini diwujudkan,” katanya.
Tambah beliau, terdapat beberapa insiden yang disifatkan sebagai pengkhianatan terhadap rakan kerjasama politik telah menjejaskan hubungan antara pihak-pihak yang terlibat.
Azman menjelaskan bahawa perkara itu menjadi antara faktor yang perlu diambil kira dalam menilai masa depan kerjasama politik antara PAS dan BERSATU.
“Keadaan tersebut menambahkan lagi faktor pertimbangan bahawa kerjasama politik PAS-BERSATU ini wajar dinoktahkan supaya PAS boleh terus melangkah ke hadapan.
“PAS akan terus bergerak berdasarkan prinsip perjuangannya dengan meletakkan agenda perpaduan ummah sebagai keutamaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/6/2026




















