Misi membina superkomputer di angkasa lepas

Konsep superkomputer di angkasa menunjukkan bagaimana industri teknologi kini mula memikirkan penyelesaian berskala global untuk menyokong pertumbuhan AI masa hadapan.
- Advertisement -

SYARIKAT teknologi kini mula memikirkan sesuatu yang jauh lebih besar dan luar biasa iaitu membina pusat data di angkasa lepas. Google dilaporkan sedang meneroka satu projek yang dikenali sebagai ‘Project Suncatcher’, iaitu usaha membangunkan sistem pengkomputeran menggunakan satelit berkuasa solar di orbit bumi. Dalam masa yang sama, SpaceX disebut sebagai antara rakan strategik yang berpotensi memainkan peranan penting dalam menjayakan projek tersebut.

- Advertisement -

Jika projek ini berjaya direalisasikan, ia mungkin menjadi permulaan kepada era baharu pengkomputeran global, di mana sebahagian kuasa pengkomputeran dunia tidak lagi berada di atas tanah tetapi terapung di orbit mengelilingi bumi.

Perkembangan AI masa kini menjadi faktor utama mengapa idea ini mula dipandang serius. Model AI generatif memerlukan kuasa pengkomputeran yang sangat besar. Semakin canggih model generatif dibangunkan, semakin tinggi penggunaan elektrik yang diperlukan. Sehinggakan sesebuah pusat data kini menggunakan tenaga dalam skala yang sangat besar setanding sebuah bandar kecil.

Selain penggunaan elektrik yang tinggi, pusat data AI juga menghasilkan haba yang sangat banyak.

Oleh itu, syarikat teknologi perlu membina sistem penyejukan yang kompleks menggunakan air dan tenaga tambahan bagi memastikan perkakasan komputer tidak rosak akibat kepanasan melampau.

Dalam keadaan ini, angkasa lepas mula dilihat sebagai satu alternatif jangka panjang yang menarik.

Melalui dokumen penyelidikan rasmi Google mengenai ‘Project Suncatcher’, syarikat itu menjelaskan bahawa projek tersebut merupakan satu inisiatif penyelidikan bagi meneroka sistem AI berskala besar menggunakan satelit di orbit rendah Bumi. Sistem ini dicadangkan menggunakan panel solar untuk menjana tenaga manakala komunikasi antara satelit pula dilakukan menggunakan sambungan laser optik berkelajuan tinggi.

Konsep ini akan mewujudkan rangkaian satelit yang akan berfungsi seperti pusat data terapung yang saling berhubungan antara satu sama lain.

Salah satu sebab utama idea ini menarik perhatian ialah kerana tenaga solar di orbit jauh lebih konsisten berbanding di permukaan bumi. Dalam kedudukan tertentu, satelit boleh menerima cahaya matahari hampir sepanjang masa tanpa gangguan awan, hujan atau waktu malam. Ini membolehkan sistem AI beroperasi dengan lebih stabil.

Selain itu, penggunaan tenaga solar di orbit juga berpotensi mengurangkan tekanan terhadap grid elektrik di Bumi. Ketika dunia semakin bergantung kepada AI, permintaan terhadap elektrik dijangka terus meningkat dengan mendadak. Jika sebahagian operasi AI dapat dipindahkan ke orbit, ia mungkin membantu mengurangkan keperluan terhadap infrastruktur tenaga di daratan.

Google turut dilaporkan sedang menguji ketahanan cip TPU generasi ‘Trillium’ bagi memastikan ia mampu bertahan dalam keadaan radiasi tinggi di angkasa. Berdasarkan laporan teknikal syarikat tersebut, cip berkenaan berjaya bertahan dalam simulasi persekitaran orbit untuk tempoh beberapa tahun tanpa kerosakan kritikal.

Walau bagaimanapun, projek seperti ini bukan sesuatu yang mudah.

Antara cabaran terbesar ialah kos pelancaran perkakasan ke orbit. Walaupun kos pelancaran roket semakin murah berbanding dahulu, penghantaran ribuan unit perkakasan komputer ke angkasa masih memerlukan perbelanjaan yang sangat besar.

Hal ini memerlukan penglibatan SpaceX. SpaceX merupakan antara syarikat yang berjaya mengurangkan kos pelancaran melalui penggunaan semula roket secara berulang. Teknologi tersebut membuka peluang kepada projek-projek besar di orbit yang sebelum ini dianggap terlalu mahal untuk dilaksanakan.

Satu lagi cabaran besar bagi pembinaan superkomputer di angkasa ialah pengurusan haba daripada cip pemprosesan AI. Berbeza dengan pusat data di bumi yang menggunakan kipas, pendingin hawa dan sistem penyejukan air, komputer di angkasa tidak boleh bergantung kepada aliran udara kerana ruang angkasa hampir tiada atmosfera.

Sebaliknya, sistem superkomputer orbital perlu menggunakan teknologi seperti ‘liquid cooling loops’, ‘heat pipes’ dan ‘panel radiator’ gergasi untuk membuang haba keluar dalam bentuk radiasi inframerah ke angkasa lepas.

Selain isu kos, penyelenggaraan perkakasan di orbit juga menjadi cabaran besar. Jika pusat data di bumi mengalami kerosakan, jurutera hanya perlu menggantikan perkakasan secara fizikal. Namun di angkasa, proses pembaikan jauh lebih rumit dan mahal.

Tambahan pula, satelit di orbit terdedah kepada radiasi kosmik dan ancaman serpihan angkasa atau ‘space debris’. Perlanggaran kecil sekalipun boleh menyebabkan kerosakan serius terhadap sistem pengkomputeran tersebut.

Walaupun idea ini masih di peringkat awal, konsep superkomputer di angkasa menunjukkan bagaimana industri teknologi kini mula memikirkan penyelesaian berskala global untuk menyokong pertumbuhan AI masa hadapan.

Jika dahulu perlumbaan teknologi tertumpu kepada telefon pintar dan media sosial, kini persaingan mula bergerak kepada penguasaan infrastruktur AI dan tenaga pengkomputeran dunia.

Menariknya, projek ini juga memperlihatkan perubahan hubungan dalam industri teknologi. Elon Musk sebelum ini sering mengkritik dominasi AI Google dan pernah membantu menubuhkan OpenAI sebagai alternatif kepada pengaruh Google dalam pembangunan AI. Namun kini, syarikat berkaitan Musk dan Google dilihat mungkin bekerjasama dalam projek infrastruktur AI generasi baharu.

Keadaan ini menunjukkan bahawa pembangunan AI moden semakin mahal dan kompleks sehingga syarikat teknologi besar mungkin perlu bekerjasama walaupun pernah bersaing antara satu sama lain.

M.MAHMOOD

HARAKAHDAILY 31/5/2026

(M.Mahmood ialah penulis dalam bidang teknologi maklumat di medium.com. Tulisan beliau diterbitkan di ruangan DevGenius, TowardsDev, Python In Plain English, Low Code For Data Science dan System Weakness)

- Advertisement -