
TEKNOLOGI komunikasi merupakan salah satu teras utama dalam strategi peperangan moden.
Sejak awal abad ke-20, keupayaan untuk menyampaikan maklumat dengan pantas dan meluas telah memberi kelebihan ketara kepada pihak yang menguasainya.
Dalam konteks peperangan, komunikasi menjadi instrumen untuk membentuk persepsi, mempengaruhi moral, dan mengawal aliran maklumat.
Bermula daripada Perang Dunia Pertama, berkembang dalam Perang Dunia Kedua, berterusan sepanjang era Perang Dingin dan kini memasuki fasa baharu melalui aplikasi mudah alih serta media sosial.
Semasa Perang Dunia Pertama, komunikasi radio memainkan peranan utama sebagai saluran arahan di medan perang.
Sebelum kewujudan radio, komunikasi ketenteraan bergantung kepada utusan fizikal, isyarat visual atau kabel telegraf yang mudah diputuskan akibat serangan musuh.
Keadaan ini sering melambatkan penyampaian maklumat dan menjejaskan penyelarasan operasi antara unit tentera.
Dengan penggunaan radio tanpa wayar, arahan dapat dihantar terus kepada unit di barisan hadapan tanpa bergantung kepada infrastruktur fizikal yang kompleks.
Walau bagaimanapun, dalam Perang Dunia Pertama, fungsi radio lebih tertumpu kepada komunikasi operasi ketenteraan.
Ia belum dimanfaatkan secara menyeluruh sebagai saluran untuk mempengaruhi orang awam atau membentuk naratif peperangan di peringkat global.
Perubahan ketara berlaku apabila dunia memasuki Perang Dunia Kedua.
Dalam Perang Dunia Kedua, radio mula menjadi medium propaganda yang sistematik.
Ucapan rasmi, laporan berita dan program khas disusun untuk meningkatkan semangat nasionalisme, mengekalkan moral rakyat serta menegaskan legitimasi tindakan ketenteraan kerajaan masing-masing.
Pada masa yang sama, siaran dalam bahasa asing disasarkan kepada negara lawan dengan tujuan menimbulkan keraguan terhadap kepimpinan mereka serta melemahkan keyakinan terhadap usaha perang.
Radio menjadi saluran yang berkesan kerana ia mampu menembusi sempadan negara dan sampai terus ke rumah pendengar.
Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, penggunaan media komunikasi sebagai alat propaganda tidak berakhir.
Era Perang Dingin menyaksikan persaingan ideologi yang berterusan antara kuasa besar dunia.
Penerbitan rancangan radio, televisyen dan filem yang bersifat rentas sempadan digunakan untuk mempromosikan sistem politik, ekonomi dan ideologi masing-masing.
Memasuki abad ke-21, landskap komunikasi berubah dengan ketara. Telefon pintar dan akses internet menjadi sebahagian daripada kehidupan harian masyarakat global.
Aplikasi mudah alih dan media sosial menggantikan peranan media konvensional sebagai medium utama penyebaran maklumat massa.
Perubahan ini turut mempengaruhi strategi propaganda dalam konflik moden.
Aplikasi mudah alih dan media sosial kini menjadi saluran penting untuk menyisipkan mesej politik dan ketenteraan.
Berbeza dengan radio dan televisyen yang bersifat satu hala, platform digital membolehkan penyebaran maklumat secara interaktif dan pantas.
Mesej boleh dihantar dalam bentuk teks, imej, video atau notifikasi terus kepada pengguna.
Kandungan juga boleh disasarkan kepada kumpulan tertentu berdasarkan lokasi, bahasa atau kecenderungan minat, menjadikan propaganda lebih spesifik dan tersusun.
Dalam konflik terkini antara Israel dan Iran, dimensi komunikasi digital menjadi semakin ketara.
Pada hari serangan dilancarkan, laporan media antarabangsa menyebut bahawa mesej berbentuk propaganda telah disisipkan ke dalam aplikasi mudah alih yang digunakan secara meluas oleh rakyat Iran.
Notifikasi yang muncul pada peranti pengguna mengandungi seruan supaya rakyat bangkit menentang pemerintahan Republik Islam.
Kejadian ini menunjukkan bagaimana aplikasi harian digodam untuk dijadikan saluran penyampaian propaganda dalam situasi konflik.
Pada masa yang sama, akaun-akaun media sosial dari India dilihat turut aktif membincangkan pergolakan antara Israel dan Iran.
Kandungan yang dikongsi merangkumi berita, ulasan, analisis dan video yang berkaitan dengan konflik tersebut.
Sukar untuk dipastikan sama ada penyebaran ini memihak secara jelas kepada mana-mana pihak, sekadar mengikuti perkembangan geopolitik semasa atau sebagai sebagai satu medan kajian memerhatikan tindak balas sentimen netizen secara halus.
Tentera Iran turut memanfaatkan media sosial untuk menyiarkan rakaman serangan balas terhadap lokasi penting di Israel, termasuk kawasan yang dikaitkan dengan pejabat perdana menteri negara tersebut.
Video dan imej yang dimuat naik bertujuan menunjukkan keupayaan ketenteraan serta membuktikan bahawa tindakan balas telah dilaksanakan.
Bahkan tular perbualan dalam talian mengenai kemungkinan kematian beliau, manakala media Barat dilihat terdiam seketika dalam pelaporan mereka tentang hal ini.
Secara tidak langsung ia memberi kelebihan dari sudut persepsi dan moral kepada pihak Iran dalam pertembungan naratif.
Kesimpulannya, perkembangan teknologi komunikasi menunjukkan kesinambungan peranannya sebagai elemen strategik dalam peperangan.
Bermula dengan radio sebagai alat penyelarasan medan perang dalam Perang Dunia Pertama, berkembang menjadi saluran propaganda dalam Perang Dunia Kedua, diteruskan sebagai instrumen persaingan ideologi semasa Perang Dingin dan kini beralih kepada aplikasi mudah alih serta media sosial dalam konflik moden.
Walaupun medium berubah mengikut kemajuan teknologi, matlamat asasnya kekal sama, iaitu mengawal aliran maklumat dan membentuk persepsi dalam situasi peperangan.
M.MAHMOOD
(M.Mahmood ialah penulis dalam bidang teknologi maklumat di medium.com. Tulisan beliau diterbitkan di ruangan DevGenius, TowardsDev, Python In Plain English, Low Code For Data Science dan System Weakness)
– HARAKAHDAILY 7/3/2026




















