
APPLE telah mengumumkan bahawa Tim Cook secara rasmi akan meninggalkan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Apple pada September 2026 selepas hampir 15 tahun memimpin syarikat tersebut. Cook akan mengambil peranan baharu sebagai Executive Chairman manakala John Ternus akan mengambil alih jawatan CEO baharu syarikat itu.
Pelantikan Ternus mendapat perhatian ramai kerana beliau bukan individu luar. John Ternus telah bersama Apple sejak tahun 2001 dan memainkan peranan penting dalam pembangunan beberapa produk utama syarikat termasuk iPhone, iPad, AirPods dan peralihan kepada Apple Silicon. Ramai pemerhati industri melihat pemilihan beliau sebagai usaha Apple mengekalkan budaya pembangunan perkakasan dan kejuruteraan yang telah lama menjadi kekuatan utama syarikat tersebut.
Kejayaan Cook memimpin Apple diiktiraf oleh pelabur terkenal dunia Warrent Buffet. Dalam satu acara baru-baru ini, pelabur itu meminta Tim Cook ‘memberikan tunduk hormat’ di hadapan para pemegang saham Berkshire Hathaway. Buffett secara terbuka memuji Cook kerana berjaya meningkatkan nilai pelaburan Berkshire dalam Apple sehingga menjadi antara pelaburan paling berjaya dalam sejarah syarikat pelaburan itu.
Pujian Buffett membawa makna besar kerana beliau terkenal sebagai pelabur yang sangat berhati-hati dalam memilih syarikat. Buffett mengakui bahawa Cook berjaya membina Apple menjadi sebuah syarikat yang lebih kukuh dari segi operasi, kewangan dan pengurusan global.
Jika dilihat dari sudut kewangan, pencapaian Cook memang sangat besar. Ketika beliau mengambil alih jawatan CEO daripada Steve Jobs pada tahun 2011, nilai pasaran Apple berada sekitar ratusan bilion dolar Amerika. Hari ini Apple pernah mencapai nilai pasaran melebihi tiga trilion dolar Amerika dan kekal antara syarikat paling bernilai di dunia.
Selain peningkatan nilai syarikat, Cook juga berjaya memperkukuhkan beberapa bahagian penting Apple seperti pengembangan perkhidmatan digital, pembangunan cip Apple Silicon, pengurusan rantaian bekalan global, dan pengukuhan kategori produk boleh pakai.
Produk seperti Apple Watch dan AirPods menjadi antara produk paling menguntungkan dalam pasaran teknologi pengguna. Apple Watch membantu Apple menguasai pasaran jam pintar dunia manakala AirPods menjadi antara aksesori audio tanpa wayar paling popular di dunia.
Apple juga memperluaskan perniagaan perkhidmatannya melalui Apple Music, Apple TV+, Apple Pay dan beberapa platform digital lain yang kini menyumbang pendapatan besar kepada syarikat.
Namun begitu, di sebalik kejayaan kewangan tersebut, satu persoalan besar terus dibincangkan oleh pemerhati teknologi dan peminat Apple. Persoalan tersebut ialah sama ada Apple berjaya menghasilkan produk revolusi baharu sepanjang era Tim Cook.
Ramai pihak melihat bahawa sejak pelancaran iPhone pada tahun 2007, Apple belum menghasilkan produk lain yang benar-benar mengubah dunia pada tahap yang sama.
iPhone bukan sekadar telefon pintar biasa. Produk tersebut mengubah cara manusia menggunakan teknologi dalam kehidupan harian.
iPhone menggabungkan pelbagai fungsi ke dalam satu peranti seperti kamera, pelayar internet, GPS, pemain muzik, permainan mudah alih dan platform aplikasi digital.
Kesan iPhone sangat besar sehingga keseluruhan industri teknologi berubah selepas kemunculannya. Banyak syarikat lain turut mengubah strategi perniagaan mereka bagi menyesuaikan diri dengan era telefon pintar moden. Cara manusia berkomunikasi, membeli-belah, mengambil gambar, bekerja dan menggunakan internet juga berubah dengan ketara selepas kemunculan iPhone.
Dalam era Cook, Apple melancarkan beberapa produk penting tetapi kebanyakannya dilihat sebagai penambahbaikan kepada kategori produk yang telah wujud sebelum ini. Jam pintar telah lama berada di pasaran sebelum Apple Watch diperkenalkan. Fon telinga tanpa wayar juga telah berada di pasaran sebelum AirPods dilancarkan.
Begitu juga dengan Apple Vision Pro yang memasuki pasaran realiti maya dan realiti tambahan yang telah diterokai lebih awal oleh syarikat lain. Walaupun Vision Pro menerima perhatian besar, produk tersebut masih belum mencapai tahap penggunaan besar-besaran seperti yang pernah dicapai oleh iPhone.
Atas sebab itu, ada pengkritik yang berpendapat bahawa Apple di bawah Cook lebih menumpukan kepada: pengukuhan ekosistem, peningkatan keuntungan, integrasi peranti, dan pengoptimuman operasi, berbanding penciptaan kategori produk baharu yang benar-benar revolusioner.
Walau bagaimanapun, keadaan industri teknologi hari ini juga jauh lebih sukar berbanding era awal iPhone. Pada tahun 2007, banyak ruang inovasi masih terbuka luas. Hari ini pasaran teknologi pengguna sudah jauh lebih matang dan tepu. Telefon pintar moden juga telah menggantikan banyak peranti lain dalam kehidupan manusia. Oleh itu, menghasilkan produk baharu yang boleh memberi kesan sebesar iPhone menjadi jauh lebih sukar.
Apple juga berdepan cabaran baharu dalam bidang kecerdasan buatan atau AI. Ramai pemerhati melihat Apple agak perlahan berbanding pesaing seperti Google, Microsoft dan OpenAI dalam perlumbaan AI moden. Situasi ini menjadi salah satu cabaran terbesar yang bakal diwarisi oleh John Ternus apabila beliau mengambil alih jawatan CEO nanti.
M.MAHMOOD
– HARAKAHDAILY 28/5/2026
(M.Mahmood ialah penulis dalam bidang teknologi maklumat di medium.com. Tulisan beliau diterbitkan di ruangan DevGenius, TowardsDev, Python In Plain English, Low Code For Data Science dan System Weakness)




















