Makan ubat tahan haid untuk puasa penuh

- Advertisement -

Soalan:

Bolehkah orang perempuan makan ubat yang melambatkan haidnya supaya dia dapat berpuasa sebulan penuh pada bulan Ramadan dan mana lebih afdhal jika dia puasa seperti biasa dan berhenti ketika haid?

- Advertisement -

Jawapan:

Harus orang perempuan makan ubat yang tidak memudaratkan dirinya untuk melambatkan haid atau mempercepatkannya supaya dia dapat bepuasa penuh di bulan Ramadan.

Akan tetapi jika dia tidak memakan ubat yakni dia berpuasa seperti biasa dan apabila datang haid dia berhenti berpuasa adalah itu lebih utama dan lebih afdal.

Berkata Mufti Mesir Dr Syauqi Ibrahim ‘Allam:

فإنْ فَعَلَت وتَنَاوَلَت الدواءَ في رمضان لتتمكن مِن صومه كاملًا وانقطع الدم عنها، فإنه يُحكم لها بالطهارة، ويترتب على ذلك الحكم بصحة صومها شرعًا، ولا حرج عليها، ومع ذلك فإنَّ تَرْكَ الأمر على الفطرة التي فَطَرَ اللهُ النساءَ عليها هو الأَوْلَى في حَقِّها والأفضلُ

Ertinya: “Maka jika perempuan itu melakukannya iaitu dia memakan ubat pada bulan Ramadan supaya dia dapat berpuasa dengan sempurna dan terputus darah daripadanya maka sungguhnya dia dihukumkan dengan suci dan jadilah pada hukum dia sah berpuasa pada syarak dan tidaklah dia berdosa. Dan serta yang demikian itu membiarkan urusan atas fitrah yang telah Allah tetapkan ke atas kaum wanita atasnya iaitulah lebih utama pada haknya dan lebih afdal.” (Majlis Fatwa Negeri Mesir)

Dan berkata Imam Ibnu Rusydi:

سئل مالك عن المرأة تخاف تعجيل الحيض، فيوصف لها شراب تشربه لتأخير الحيض؟ قال: ليس ذلك بصواب، وكرهه. قال ابن رشد: إنما كرهه مخافة أن تدخل على نفسها ضررا بذلك في جسمها

Ertinya: “Telah disoal akan Imam Malik tentang seorang perempuan yang bimbang cepat datang haid dan kemudian diceritakan ada bagi perempuan itu ubat yang dia minum untuk melambatkan datang haid? Berkata Imam Malik: Bermula yang demikian itu tidak betul dan memakruhkannya. Kata Ibnu Rusydi: Hanya sungguhnya Imam Malik memakruhkannya kerana takut berlaku pada diri perempuan itu mudarat dengan sebab makan ubat itu pada tubuh badannya.” (Kitab Mawahib Al-Jalil)

Kesimpulannya harus bagi perempuan tersebut makan ubat yang tidak berbahaya untuk menahan haid supaya dapat berpuasa penuh di bulan Ramadan dan sah puasanya itu tetapi jika dia tidak memakan ubat dan berpuasa seperti biasa adalah lebih afdal dan lebih elok.

Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 7/3/2026

- Advertisement -