Perkembangan mutakhir perang Iran – AS – negara haram Israel

- Advertisement -

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dalam kenyataannya di laman media sosial Truth Social menyatakan bahawa tidak akan ada perjanjian dengan Iran melainkan menyerah sepenuhnya tanpa syarat dengan selepas itu memilih pemimpin yang hebat dan boleh diterima. Dalam temuramahnya dengan media Amerika Syarikat NBC, Donald Trump menyatakan yang beliau mahu ‘membersihkan sepenuhnya’ struktur kepimpinan Iran sedia ada dan mendakwa telah mempunyai beberapa calon berpotensi untuk memimpin Iran.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan IRGC, ia mendakwa telah memusnahkan radar sistem pertahanan udara THAAD dan Desert Eye di Asia Barat, iaitu radar sistem pertahanan udara THAAD yang terletak di UAE dan Jordan serta radar FPS132 Desert Eye yang terletak di Qatar dengan serangan dron dan peluru berpandu.

Tentera udara Amerika Syarikat dan negara haram Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Iran dengan menyasarkan Tehran, Shiraz, Ilam, Karaj, Qom, Urmia, Lorestan dan beberapa lagi wilayah di Iran yang menyasarkan aset-aset strategik di Iran.

- Advertisement -

Tentera Iran dan IRGC terus melancarkan serangan udara dan dron ke atas aset strategik dan pangkalan tentera Amerika Syarikat di negara-negara Asia Barat seperti Bahrain, UAE, Qatar, Kuwait, Arab Saudi, Jordan dan Erbil di wilayah Kurdistan termasuk pangkalan tentera udara Victoria di Baghdad, Iraq. Tentera Iran dan IRGC juga dilaporkan menyasarkan aset-aset strategik milik syarikat minyak dan gas Amerika Syarikat dan British di Basra, Iraq. Tentera laut Iran dilaporkan sekali lagi melancarkan serangan ke atas kapal pengangkut pesawat tentera laut Amerika Syarikat USS Abraham Lincoln dan kapal perang yang mengiringinya.

Tentera Iran dan IRGC terus menghujani negara haram Israel dengan serangan peluru berpandu balistik dan dron dengan menyasarkan Tel Aviv, Haifa, Negev, Dimona, Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion dan sebahagian besar negara haram Israel yang mengakibatkan kemusnahan besar termasuk kemungkinan kematian dan kecederaan.

Tentera udara negara haram Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Lubnan dengan menyasarkan Beirut, Beeqa, Khiam, Hasboush, Kfar Remman, Kfar Tebnit, Toul, Al-Aziya, Anqoun, Jebchit, Mefdoun, Qalawiya, Ainatha, Sidon dan sebahagian besar bandar di selatan Lubnan. Buat 3 hari berturut-turut dilaporkan berlangsung pertempuran sengit antara tentera penjajah rejim Zionis Israel dan anggota Hizbullah berhampiran sempadan Lubnan – negara haram Israel dengan media negara haram Israel melaporkan 8 orang tentera penjajah rejim Zionis Israel cedera, 5 daripadanya parah di mana salah seorang yang cedera adalah anak kepada Menteri Kewangan negara haram Israel Bezalel Smotrich.

Hezbullah terus melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas negara haram Israel dengan menyasarkan serangan ke atas Tel Aviv, Haifa, Galilee, Acre, Manara, Markaba, Kfar Yuval, Ramot Naftali, Kiryat Shmona dan sebahagian besar wilayah Utara negara haram Israel. Hizbullah menyatakan bahawa ia telah melancarkan serangan dron ke atas pangkalan tentera Katsavia di negara haram Israel.

Pentadbiran Donald Trump mengadakan pertemuan dengan eksekutif pembekal senjata utama seperti daripada Lockheed Martin dan RTX untuk mempercepat dan memperbanyakkan pengeluaran senjata selepas peperangan dengan Iran mengurangkan dengan banyaknya simpanan stok senjata tentera Amerika Syarikat.

Menurut laporan Reuters, satu serangan dron telah dilancarkan ke atas sebuah kem milik kumpulan pembangkang Kurdis Iran di wilayah Kurdistan di Iraq. Washington Post pula melaporkan bahawa Rusia telah memberikan Iran maklumat perisikan tentang kedudukan kapal perang dan pesawat pejuang Amerika Syarikat di Asia Barat yang membolehkan Iran menyasarkan kedudukannya dan tentera Amerika Syarikat.

Kapal pengangkut pesawat tentera laut Perancis Charles de Gaulle telah tiba di perairan Mediterranean. Perancis dilaporkan telah mencadangkan satu inisiatif untuk menamatkan perang di Lubnan dan sebagai pertukarannnya Hizbullah hendaklah ‘menyerah diri’ sepenuhnya.

Menteri Luar Azerbaijan Jeyhun Bayramov menyatakan atas arahan Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev, diplomat dan kakitangan kedutaan Azerbaijan telah dikeluarkan dari Tehran termasuk Konsulat Jeneral di Tabriz atas sebab keselamatan.

Iran mengancam untuk melancarkan serangan ke atas fasiliti nuklear Dimona di Negev, negara haram Israel jika rejim penjajah Zionis Israel dan Amerika Syarikat melakukan cubaan untuk melaksanakan ‘regime change’ di Iran.

Arab Saudi, Qatar, UAE dan Kuwait sedang berkira-kira untuk merombak kembali ekonomi mereka dan menarik balik pelaburan di luar negara dipercayai di Amerika Syarikat berikutan tekanan ekonomi yang dihadapi ketika ini khususnya akibat daripada peperangan yang berlangsung ketika ini.

Timbalan Menteri Luar Iran Majid Takht-Ravanci berkata Eropah akan menjadi ‘sasaran yang sah’ jika mereka menyertai peperangan. Beliau turut menyatakan bahawa ‘nasib yang sama’ akan menimpa mana-mana negara yang menyertai Amerika Syarikat dan negara haram Israel dalam melakukan pencerobohan ke atas Iran.

CNN melaporkan bahawa data perisikan Amerika Syarikat menunjukkan bahawa China berkemungkinan memberikan Iran bantuan kewangan, alat ganti dan komponen untuk peluru berpandu. Media Amerika Syarikat Axios melaporkan bahawa Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio memberitahu Menteri Luar negara-negara Arab bahawa objektik Amerika Syarikat adalah untuk tidak melakukan ‘regime change’ di Iran.

Badan Perkhidmatan Keselamatan Azerbaijan mendakwa IRGC sedang bersiap sedia untuk melancarkan ‘terrorist attack’ ke atas wilayah di Azerbaijan dengan dilaporkan tentera Azerbaijan sedang mengerahkan anggota tenteranya dan sistem pertahanan udara ke sempadan Azerbaijan – Iran.

Tentera rejim penjajah Zionis Israel dilaporkan melancarkan serangan udara dengan menyasarkan tentera pengaman PBB (UNIFIL) dari Ghana di ibu pejabat UNIFIL yang terletak di bandar Al-Qawzah, Selatan Lubnan.

Menurut laporan Persatuan Bulan Sabit Merah Iran, sehingga hari ini akibat serangan udara ganas tentera Amerika Syarikat dan negara haram Israel ke atas Iran, sekurang-kurangnya 1,332 orang warga Iran telah terkorban. Kementerian Kesihatan Lubnan dalam kenyataan yang dikeluarkan menyatakan sejak tentera penjajah rejim Zionis Israel melancarkan serangan ke atas Lubnan, sebanyak 217 orang telah terkorban dengan 798 orang lagi dilaporkan cedera.

Bekas Presiden Rusia yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Rusia Dmitry Medvedev menyatakan bahawa negara-negara Arab (Teluk) membenarkan Amerika Syarikat membina pangkalan tentera di negara mereka, mereka mengharap Amerika Syarikat melindungi mereka. Amerika Syarikat hanya menggunakan mereka, manakala hanya melindungi satu negara. Berfikir panjang dan dalam dalam sama ada anda benar-benar memerlukan pangkalan tentera Amerika Syarikat. Mereka (pangkalan tentera Amerika Syarikat) bukan perlindungan, ia adalah ancaman.

“Kembali Kepada Penyelesaian Islam”

DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Buruk
17 Ramadan 1447H / 7 Mac 2026 – HARAKAHDAILY 7/3/2026

- Advertisement -