
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan kenyataan pemimpin BERSATU di Melaka yang melabel pihak membangkitkan isu ketiadaan jentera sebagai ‘pekak’ menjadi isyarat jelas kegagalan untuk mengakui hakikat dan kekerdilan parti tersebut.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu menegaskan bahawa kegagalan mengakui kelemahan akan melahirkan tindakan berasaskan keyakinan diri yang palsu, sekali gus menjejaskan kepercayaan antara parti rakan dalam gabungan berkenaan.
“Apabila kedengaran sayup-sayup di Melaka ada pemimpin BERSATU yang berkata bahawa pekaklah sesiapa yang menyatakan partinya tiada jentera, maka itu bermakna sudah tiada harapan untuk sebarang kerjasama harmoni lagi.
“Bukanlah satu kesalahan jika sesebuah parti itu tiada jentera tambahan pula jika ia parti baru, tetapi yang menjadi masalah ialah kegagalan untuk mengakui kelemahan dan kekerdilan itu.
“Apabila penafian terhadap hakikat itu berlaku, tindakan yang akan lahir nanti berasaskan keyakinan diri sentiasa kuat, walhal hakikat yang jelas terpampang ialah sebaliknya,” menurut beliau dalam satu hantaran terkini di media sosialnya.
Dua parti komponen Perikatan Nasional (PN) ini dilihat mulai menegang selepas beberapa siri isu dalaman membabitkan sikap tidak setia kawan BERSATU terhadap PAS termasuk isu di Perlis dan Negeri Sembilan.
Pemimpin PAS di peringkat akar umbi melaporkan mengenai gerak kerja pilihan raya yang terpaksa dipikul sendirian oleh jentera PAS, manakala BERSATU pula sering menuntut jumlah kerusi lebih banyak.
Ahmad Fadhli turut mempersoalkan kegagalan BERSATU untuk memantapkan parti dalam tempoh bertahun-tahun selepas pilihan raya, sebaliknya dilihat lebih sibuk dengan perbalahan dalaman dan mempersiapkan penyokong peribadi untuk menjadi calon.
Keadaan itu menyebabkan BERSATU sering bertanding lebih banyak kerusi berbanding rakan gabungan lain, namun gagal memperoleh kemenangan yang lebih besar akibat kajian serta bacaan politik yang tidak tepat.
“Juga tiada masalah jika kekurangan jentera diikuti dengan usaha pemantapan parti. Tetapi jika dalam tempoh bertahun-tahun selepas pilihan raya asyik berantakan, ia bukan memantapkan parti.
“Ia hanya proses mempersiapkan penyokong peribadi untuk menjadi calon dan kemudiannya menunggang kekuatan parti kawan.
“Kerana itu, pihak tersebut apabila bertanding lebih banyak kerusi dari kawan-kawan dalam gabungan, tetapi seringkali gagal menang lebih banyak. Ia terhasil dari kajian serta bacaan yang tidak tepat,” katanya lagi.
Berdasarkan perkembangan terbaharu melibatkan krisis di Perlis dan Negeri Sembilan, timbul kebimbangan beliau sama ada BERSATU akan bertindak secara bersendirian dalam membentuk kerajaan persekutuan pasca-Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.
Susulan itu, jalan terbaik yang dicadangkannya adalah agar kedua-dua parti ini bergerak secara berasingan dalam pilihan raya akan datang tanpa memutuskan hubungan persahabatan secara peribadi.
“Maka jika menyatakan hakikat bahawa BERSATU ketiadaan jentera dikatakan pekak, tiada harapan lagi sebuah kerjasama harmoni selepas ini.
“Apatah lagi tindakan demi tindakan BERSATU kebelakangan ini pun dalam isu Perlis dan Negeri Sembilan boleh melahirkan kebimbangan apakah selepas PRU16 nanti akan ada pertimbangan secara bersendirian di dalam membentuk Kerajaan Persekutuan?
“Justeru, secara peribadi saya cadangkan jalan yang terbaik ialah bergerak secara berasingan. Kita kekal berkawan, cuma bukan di pentas pilihan raya. Anda boleh mencari kawan politik yang lebih jelas pendengaran, lebih terang penglihatan dan lebih kuat deria bau. Selamat Maju Jaya,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 31/5/2026











