
KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Hajjah Nuridah Salleh, menegaskan bahawa Kuala Lumpur tidak perlu dijadikan sebagai ‘hub hiburan’ untuk menarik kehadiran pelancong asing ke negara ini.
Menurut bekas Ahli Dewan Negara itu, kekuatan sebenar Malaysia dalam sektor pelancongan terletak pada identiti budaya, kepelbagaian masyarakat, nilai ketimuran, serta keunikan warisan yang tidak dimiliki oleh negara lain.
Beliau menjelaskan bahawa trend pelancongan masa kini menunjukkan pelancong bukan lagi hanya mencari hiburan malam atau pusat pesta, sebaliknya lebih berminat kepada pengalaman autentik, keamanan, seni budaya, serta kehidupan masyarakat tempatan.
“Kuala Lumpur tidak perlu dijadikan ‘hub hiburan’ semata-mata untuk menarik pelancong kerana kekuatan sebenar Malaysia terletak pada identiti budaya, kepelbagaian masyarakat, nilai ketimuran serta keunikan warisan yang tidak dimiliki negara lain.
“Pelancong hari ini bukan hanya mencari hiburan malam atau pusat pesta, tetapi mereka juga mencari pengalaman autentik, keamanan, makanan tradisi, seni budaya, sejarah, alam semula jadi dan kehidupan masyarakat tempatan,” katanya.
Cadangan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hub hiburan dan kehidupan malam bertaraf antarabangsa dibangkitkan sebagai strategi untuk merancakkan ekonomi serta bersaing dengan bandar raya jiran seperti Bangkok dan Singapura.
Bagaimanapun, cadangan tersebut mendapat bantahan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan parti politik yang bimbang akan kesan sosial, moral, serta terhakisnya identiti bandar raya tersebut sebagai pusat kebudayaan dan ilmu.
Polemik dicetuskan Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh ini dilihat banyak pihak telah menyentuh aspek keseimbangan antara tuntutan ekonomi pelancongan dengan pemeliharaan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia.
Nuridah yang bergerak kerja di Bukit Bintang itu turut menarik perhatian bahawa pembangunan pelancongan terlalu bergantung kepada industri hiburan boleh memberikan kesan sosial dan moral negatif kepada masyarakat setempat.
Menurut beliau, kualiti sesebuah negara maju seharusnya diukur melalui pembinaan bandar yang selamat, bersih, mesra keluarga, serta mempunyai nilai kehidupan seimbang, bukannya melalui jumlah pusat hiburan ada.
“Selain itu, pembangunan sektor pelancongan yang terlalu bergantung kepada industri hiburan boleh memberi kesan sosial dan moral kepada masyarakat setempat.
“Sesebuah negara maju bukan diukur melalui banyaknya pusat hiburan, tetapi bagaimana ia mampu membina bandar yang selamat, bersih, mesra keluarga dan mempunyai nilai kehidupan yang seimbang.
“Kuala Lumpur boleh menjadi destinasi pelancongan bertaraf dunia melalui pelancongan ilmu, pelancongan kesihatan, pelancongan Islamik, makanan halal, ekopelancongan dan program kebudayaan yang memperkenalkan identiti Malaysia kepada dunia,” jelas beliau.
Beliau menegaskan bahawa Kuala Lumpur sudah mempunyai daya tarikan tersendiri seperti Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan Masjid Negara, selain keharmonian masyarakat majmuk yang hidup aman bersama.
“Malah, ramai pelancong luar datang ke Malaysia kerana suasana harmoni dan sederhana yang ada pada negara ini. Mereka mahu melihat budaya Melayu, Cina, India dan etnik-etnik lain hidup bersama dalam aman. Inilah kekuatan sebenar Kuala Lumpur.
“Bandar raya ini perlu dibangunkan sebagai pusat ekonomi, ilmu, teknologi dan budaya, bukannya dikenali hanya sebagai pusat hiburan. Pelancongan yang berteraskan nilai dan identiti akan lebih lestari, dihormati dan memberi manfaat jangka panjang kepada negara serta generasi akan datang,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 31/5/2026











