
KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu optimis rakyat akan terus memberikan sokongan kepada kerajaan negeri menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) berdasarkan prestasi pentadbiran yang disifatkan semakin positif sejak 2018.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, perubahan yang berlaku di negeri itu dapat dilihat daripada aspek pentadbiran, pembangunan dan hubungan kerajaan dengan rakyat.
Menurutnya, kejayaan PAS mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) membuktikan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran sedia ada terus kukuh.
“Kita memberikan tumpuan untuk melaksanakan dan menunaikan janji-janji manifesto yang telah pun kita janji kepada rakyat. Lebih 20 tawaran manifesto yang kita janjikan ketika PRU14 yang lalu.
“Alhamdulillah tawaran-tawaran manifesto yang PRU14 yang lalu sebanyak 20 telah pun kita laksanakan. Alhamdulillah, dan di dalam pelaksanaan tawaran manifesto itu menyaksikan konsep keadilan itu dilakukan oleh kerajaan kita.
“Dalam bahasa yang mudah, kita menganggap semua rakyat yang ada di Terengganu sama ada duduk di kampung-kampung atau bandar sekiranya mereka layak dan memenuhi syarat, kita bantu tanpa melihat warna politik sama ada hijau, biru, oren atau merah.
“Maka kerana itu, rakyat melihat bilamana keadilan itu dilaksanakan, ditegakkan dan diamalkan maka alhamdulillah daripada 22 kerusi yang kita dapat pada 2018 dalam PRU15 tahun 2023, kita berjaya memenangi keseluruhan kerusi sebanyak 32 kerusi di peringkat DUN dan lapan kerusi di peringkat parlimen. Alhamdulillah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam satu program Ceramah Perdana Rakyat Bangkit di pekarangan Waterfront, Pulau Kambing, di sini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri berkata, pentadbiran PAS turut meneruskan projek yang dilaksanakan kerajaan terdahulu sekiranya memberi manfaat kepada rakyat dan mempunyai objektif yang baik.
“Kita tidak batalkan projek yang baik. Kalau ada penambahbaikan yang perlu dibuat, kita akan buat islah supaya manfaatnya lebih besar kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, konsep ‘Maju, Berkat dan Sejahtera’ yang diperkenalkan kerajaan negeri kini mula menampakkan hasil apabila Terengganu terus menjadi destinasi pilihan pelancong domestik dan luar negara.
Katanya, negeri itu menerima kunjungan pelancong yang tinggi terutama pada musim cuti hujung minggu selain penganjuran pelbagai program berskala besar.
Beliau turut memaklumkan Terengganu menerima kunjungan beberapa delegasi luar negara termasuk Pesuruhjaya Australia dan rombongan dari Singapura yang diketuai seorang menteri kanan republik itu baru-baru ini.
“Dalam tempoh terdekat ini juga dijangka lebih banyak delegasi luar negara akan datang ke Terengganu untuk bertemu kepimpinan kerajaan negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/5/2026




















