
KUALA TERENGGANU: Pendekatan Islam yang dibawa PAS disifatkan sebagai landasan keadilan sejagat yang mampu menyatukan masyarakat berbilang kaum serta memastikan pentadbiran negara lebih stabil dan berintegriti.
Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, Dr Balachandran Gopal Khishnan berkata, prinsip keadilan dalam Islam bukan sahaja menekankan keseimbangan dalam pentadbiran, malah merangkumi tanggungjawab menjaga semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
Beliau berkata, dalam keadaan rakyat berdepan tekanan ekonomi dan kos sara hidup, negara memerlukan kepimpinan yang berteraskan nilai amanah, adil dan berintegriti bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
“Dalam Islam, keadilan itu melangkaui semua. Sebab itu saya bersama PAS kerana prinsip berlaku adil itu lebih dekat dengan takwa,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam satu Ceramah Perdana Rakyat Bangkit di pekarangan Waterfront, Pulau Kambing, di sini.
Balachandaran turut merujuk kepada Surah al-Ma’idah ayat 8 yang menurutnya menegaskan kewajipan menegakkan keadilan walaupun terhadap pihak yang berbeza pandangan.
“Ini yang membawa saya kepada PAS. Keadilan pada tempatnya bukan keadilan sama rata. Kesama rataan bukan adil. Keadilan setempat itu akan membawa kepada kesamarataan.
“Ini yang kita perlu dan Islam jelas dalam konteks ini bahawa dia akan jaga semua orang,” katanya.
Menurutnya, budaya politik berasaskan fitnah, kebencian dan persepsi perlu dihentikan kerana ia boleh menggugat keharmonian masyarakat serta kestabilan negara.
“Negara kita ini tidak boleh dibina dengan budaya fitnah, kebencian dan penghinaan. Kita perlu politik matang yang membawa kepada penyelesaian bukan sekadar bermain persepsi,” katanya.
Mengulas persepsi terhadap Terengganu, beliau menolak tanggapan negeri itu mundur, sebaliknya menyifatkan pendekatan pentadbiran negeri lebih berorientasikan nilai kekeluargaan dan keseimbangan sosial.
“Hari ini orang kata Terengganu ini mundur bila saya pergi ke luar sana. Karaoke kita tutup pukul 10 malam sekarang. Kita tak main pesta air macam mereka di Kuala Lumpur.
“Untuk menarik pelancongan, kita tak perlu kompromikan akidah dan buat perkara melampau. Kita perlu ada integriti dalam apa yang kita lakukan.
“Islam membawa rahmat, keadilan dan kesejahteraan untuk semua, bukan ketakutan dan bukan permusuhan. Kerajaan negeri mementingkan nilai kekeluargaan Terengganu,” ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi DHPP Negeri Terengganu menjelaskan perbezaan gaya hidup antara Terengganu dan Kuala Lumpur yang menurutnya mencerminkan pendekatan pentadbiran berbeza berasaskan keseimbangan keluarga.
“Terengganu bukan macam Kuala Lumpur. Di KL, ada yang balik lewat malam. Di Terengganu, kita lebih mementingkan masa bersama keluarga. Ini kerajaan yang ‘family centric’.
“Ini penting untuk kita memahaminya dan kita juga memastikan bahawa bila kita bersama Islam kita semua selamat, tagline saya dulu hidup Melayu tak jamin Islam selamat, hidup Islam kita semua selamat” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kepimpinan berteraskan Islam mampu membawa Malaysia ke arah lebih stabil, makmur dan sejahtera dengan mengimbangi pembangunan, integriti serta nilai moral dalam pentadbiran negara. – HARAKAHDAILY 9/5/2026




















