
KUALA LUMPUR: Kerajaan dan semua pihak diingatkan agar lebih beradab dalam menangani perbezaan pandangan yang membabitkan institusi diraja bagi menjamin kestabilan hubungan dalam sistem bernegara.
Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Mohd Amar Abdullah menyatakan kebimbangan beliau terhadap perkembangan mutakhir yang menyaksikan pandangan Institusi Diraja mula diperdebatkan secara terbuka sehingga mencetuskan polemik awam.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia dibina atas kerangka Raja Berperlembagaan dan prinsip ‘Kesetiaan kepada Raja dan Negara’ dalam Rukun Negara perlulah dihayati sebagai asas perpaduan.
“Saya melihat perkembangan mutakhir yang melibatkan kenyataan terbuka antara pihak kerajaan dan institusi diraja dalam beberapa isu semasa perlu ditangani dengan lebih beradab.
“Budaya seperti ini tidak wajar dibiarkan dalam negara yang meletakkan institusi diraja sebagai payung perpaduan. Perbezaan pandangan sepatutnya diurus dengan penuh hikmah, bukan dijadikan polemik awam,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beberapa hari ini beberapa siri kenyataan terbuka daripada pimpinan kerajaan yang dilihat seolah-olah menyanggah atau memberi maklum balas secara langsung terhadap titah serta pandangan dizahirkan oleh Institusi Diraja.
Antara isu yang menjadi perhatian termasuklah cadangan pembangunan industri penternakan babi berskala besar di Selangor serta dasar ekonomi yang menyentuh pengurusan sumber asli di peringkat negeri.
Ketegangan ini menimbulkan kegusaran dalam kalangan pemerhati politik yang menyifatkan tindakan menjawab titah secara terbuka sebagai satu bentuk normalisasi yang boleh menghakis rasa hormat masyarakat terhadap kedaulatan Raja-raja Melayu.
Sensitiviti negeri
Mengulas mengenai isu kemaslahatan negeri, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Kelantan itu percaya tidak ada mana-mana negeri Melayu Islam di negara ini yang mahu dikenali sebagai pusat industri penternakan babi berskala besar.
Beliau turut memberikan contoh Singapura yang telah menamatkan sepenuhnya industri berkenaan sejak tahun 1989 demi menjaga kepentingan tertentu.
“Begitu juga dalam isu berkaitan kemaslahatan negeri. Saya percaya tidak ada mana-mana negeri Melayu Islam, yang mahu dikenali sebagai hab industri babi berskala besar di rantau ini. Perkara ini melibatkan identiti negeri dan sensitiviti masyarakat,” jelas beliau.
Mohd Amar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor Kelantan turut mengingatkan bahawa kegagalan menguruskan perbezaan pandangan dengan hikmah boleh merosakkan ‘sendi’ kekuatan negara.
Beliau berharap agar budaya menjawab secara terbuka terhadap institusi diraja tidak dinormalisasikan kerana ia dikhuatiri akan memberikan kesan jangka panjang kepada jiwa masyarakat.
“Saya berharap semua pihak memberi perhatian serius terhadap perkara ini. Jika budaya menjawab secara terbuka terhadap pandangan institusi diraja terus dinormalisasikan, saya bimbang semangat menghormati institusi diraja akan semakin terhakis dalam jiwa masyarakat,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 9/5/2026











