
ROMPIN: Negeri Pahang telah memperuntukkan kawasan yang sangat luas sebagai zon Taman Negara dan kawasan pemeliharaan hutan, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Ibam, Ustaz Nazri Ahmad.
Namun begitu, menurutnya dalam masa sama kerajaan negeri juga kehilangan banyak potensi hasil.
“Sudah tentu perkara ini wajar diberi perhatian supaya negeri-negeri yang menjaga khazanah alam seperti Pahang turut mendapat imbuhan dan penghargaan yang sewajarnya daripada kerajaan Persekutuan,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian susulan menghadiri Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-15 yang disempurnakan oleh Tenku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Wisma Sri Pahang, Kuantan, semalam.
Tambahnya, baginda turut menyentuh tentang peranan besar Pahang dalam menjaga kelestarian.
Selain itu, katanya antara perkara yang menarik perhatiannya ialah titah berkenaan projek-projek pembangunan yang telah diluluskan supaya diberi perhatian serius dan tidak dibiarkan menjadi projek sakit atau terbengkalai.
Menurut beliau, sememangnya rakyat mahu melihat setiap projek yang diumumkan benar-benar siap dan memberi manfaat kepada masyarakat.
“Moga segala perancangan dan pembangunan selepas ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan masa depan Negeri Pahang,” ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Rompin. – HARAKAHDAILY 9/5/2026











