
KUANTAN: Perikatan Nasional (PN) Pahang kesal terhadap kenyataan Perdana Menteri yang dilihat kurang tepat dan tidak wajar berhubung titah Tengku Mahkota Pahang pada pembukaan sidang Dewan Negeri semalam.
Ketua Pembangkang, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, bahawa kenyataan Perdana Menteri (PMX) itu seolah-olah menggambarkan titah baginda tidak mengambil kira realiti ekonomi secara makro.
Beliau menyifatkan persepsi sedemikian bukan sahaja tidak tepat, malah tidak mencerminkan kepekaan pemimpin tertinggi negara terhadap Institusi Diraja serta keadaan sebenar di peringkat negeri.
“Kenyataan tersebut seolah-olah menggambarkan bahawa titah baginda tidak mengambil kira realiti ekonomi secara makro. Persepsi sebegini bukan sahaja tidak tepat.
“Malah tidak mencerminkan kepekaan seorang pemimpin tertinggi negara terhadap institusi diraja dan keadaan sebenar di peringkat negeri,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka menjelaskan bahawa perkara dibangkitkan dalam titah berkenaan berkait rapat dengan pengurusan alam sekitar, keselamatan rakyat, dan kelestarian negeri.
Beliau mendedahkan bahawa banyak sungai di Pahang kini mengalami masalah mendapan pasir yang serius, menyebabkan sungai menjadi lebar namun cetek, sekali gus meningkatkan risiko banjir.
“Kerja-kerja pengorekan dan pendalaman sungai merupakan keperluan mendesak bagi mengurangkan risiko tersebut. Namun, usaha ini memerlukan kos yang tinggi.
“Dalam konteks ini, cadangan untuk menjual pasir yang dikorek bukan sahaja langkah praktikal bagi menampung kos, malah berpotensi menambah hasil negeri secara sah dan berkesan,” jelas beliau.
Tengku Mahkota dalam titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Persidangan menyentuh mengenai kepentingan menguruskan sumber pasir bagi tujuan kelestarian sungai dan ekonomi negeri.
Menurut Tuan Ibrahim lagi, sekatan Kerajaan Persekutuan terhadap eksport pasir telah menjejaskan usaha pendalaman sungai kerana ketiadaan saluran pasaran yang mencukupi bagi mengatasi lambakan pasir.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian turut menekankan bahawa walaupun pautan kenyataan Perdana Menteri tersebut telah diturunkan, gambaran kurang tepat yang diberikan tetap memberi kesan.
“Sebagai Perdana Menteri, setiap kenyataan yang dikeluarkan seharusnya lebih cermat, berasaskan fakta dan mengambil kira sensitiviti terhadap institusi diraja.
“Sehubungan itu, saya menyeru Kerajaan Persekutuan supaya meneliti semula dasar berkaitan sekatan eksport pasir dan memberi ruang kepada negeri seperti Pahang untuk mengurus sumbernya secara lebih efektif, selaras dengan kepentingan rakyat dan kelestarian alam sekitar,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan kerajaan agar tidak sekadar melihat pasir sebagai komoditi ekonomi, sebaliknya mengiktirafnya sebagai isu keselamatan rakyat dan pengurusan banjir bagi mengelakkan rakyat menanggung akibat daripada dasar tidak fleksibel. – HARAKAHDAILY 9/5/2026











