
KUALA TERENGGANU: Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, budaya menabung dalam kalangan bakal haji negeri ini wajar dijadikan inspirasi kepada generasi muda umat Islam untuk merancang perjalanan haji sejak awal.
Baginda bertitah, amalan menabung secara konsisten yang diamalkan jemaah haji membuktikan bahawa perancangan kewangan yang berdisiplin mampu membantu mencapai kemampuan menunaikan ibadah tersebut.
“Beta berharap semangat ini dapat terus menjadi inspirasi kepada generasi muda umat Islam di negara ini agar mereka juga mula merancang perjalanan haji mereka sejak awal, dengan menjadikan budaya menabung di Tabung Haji sebagai satu amalan yang berterusan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Penyempurnaan Keberangkatan Jemaah Haji Ke Tanah Suci bagi tahun ini, di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), semalam.
Turut hadir Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra’ dan Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Menurut Baginda lagi, kesungguhan bakal haji yang menabung sejak awal mencerminkan disiplin, kesabaran serta ketekunan luar biasa dalam merealisasikan impian ke Baitullah.
Dalam pada itu, Baginda menzahirkan kesyukuran atas peluang yang dikurniakan kepada jemaah haji sebagai tetamu Allah serta merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada mereka yang terpilih pada tahun ini.
“Para bakal haji sekalian, Ibadah haji bukan sekadar satu perjalanan fizikal merentasi sempadan negara, tetapi merupakan perjalanan rohani yang menuntut keikhlasan, kesabaran, pengorbanan serta keinsafan yang tinggi.
“Oleh itu, Beta berharap agar para jemaah sekalian dapat memanfaatkan kesempatan yang amat berharga ini memperbanyakkan ibadah, menjaga adab dan disiplin, serta sentiasa memelihara nama baik negara sepanjang berada di Tanah Suci,” titah baginda.
Selain itu, Baginda turut merakamkan penghargaan kepada Lembaga Tabung Haji dan semua pihak yang terlibat atas usaha berterusan dalam memastikan pengurusan ibadah haji negara berada pada tahap cemerlang.
“Peranan yang dimainkan oleh Tabung Haji sejak sekian lama bukan sahaja membantu umat Islam negara merancang dan menunaikan ibadah haji dengan lebih teratur, malah turut menjadi contoh pengurusan haji yang dihormati di peringkat antarabangsa,” titah baginda.
Baginda juga menasihatkan jemaah supaya menjaga kesihatan, mematuhi peraturan serta memberi kerjasama penuh kepada petugas haji sepanjang tempoh ibadah.
“Di samping menunaikan segala rukun dan wajib haji dengan sempurna, Beta juga berharap agar para jemaah tidak lupa untuk memperbanyakkan doa di Tanah Suci agar negeri Terengganu khususnya dan Malaysia amnya, terus dilimpahi keamanan, kemakmuran dan perpaduan yang berkekalan.
“Akhirnya, Beta mendoakan agar perjalanan semua jemaah haji sentiasa selamat, dipermudahkan segala urusan, serta dianugerahkan haji yang mabrur dan kembali ke Tanah Air dalam keadaan sihat, sejahtera serta membawa pulang keberkatan kepada keluarga dan masyarakat,” titah Baginda.
Seramai 1,870 bakal haji negeri Terengganu telah terpilih menjadi tetamu Allah di Makkah pada tahun ini. – HARAKAHDAILY 4/5/2026




















