
KOTA BHARU: Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) terus digalas dengan amanah besar sebagai entiti strategik negeri dalam memacu pertumbuhan ekonomi mampan serta mencipta nilai jangka panjang kepada negeri dan rakyat.
Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud berkata, perkara itu ditegaskan ketika merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PKINK 2025 di Kelantan Trade Centre, di sini, sebagai platform meraikan dedikasi dan kecemerlangan warga kerja.
Menurutnya pengiktirafan yang diberikan menjadi pemangkin kepada budaya kerja berprestasi tinggi berintegriti dan berorientasikan hasil dalam kalangan kakitangan.
“Setiap amanah perlu dilaksanakan dengan keikhlasan dan profesionalisme meyakini bahawa kerja adalah ibadah yang menuntut kualiti disiplin dan tanggungjawab” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa model pengurusan ihtirafi di bawah dasar Membangun Bersama Islam yang berteraskan Ubudiyyah Mas’uliyyah dan Itqan terus memperkukuh budaya kerja yang berkualiti dan berdaya tahan.
Katanya, pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) PKINK 2024 hingga 2028 menjadi langkah strategik dalam memperkasakan tadbir urus serta membanteras rasuah dan salah guna kuasa.
“Saya yakin dengan kepimpinan berwawasan dan komitmen warga kerja PKINK akan terus menjadi pemacu utama kemajuan ekonomi Kelantan,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penerima anugerah yang melibatkan 16 Anugerah Warga Kerja Sihat Cergas dua Anugerah Perkhidmatan Lama serta 14 Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. – HARAKAHDAILY 4/5/2026




















