‘Rakyat tengok…negara ni sebenarnya nak ke mana?’ 

Nadzir Helmi tempelak Teresa Kok

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dikritik kerana tidak mempunyai hala tuju yang jelas sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, keadaan itu menyebabkan setiap kementerian bergerak secara berasingan tanpa panduan dasar yang kukuh, sekali gus menampakkan pentadbiran negara tidak tersusun.

“Bukan tak nak bagi idea. Tapi nak bagi idea untuk apa kalau kerajaan sendiri tak tahu hala tuju? Bila dasar kabur, semua jadi longgar. Menteri buat kerja ikut selera sendiri. Satu kementerian ke Barat, satu lagi ke Timur.

“Akhirnya rakyat tengok… negara ni sebenarnya nak ke mana?” soal beliau dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian susulan gesaan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim supaya PAS dan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh supaya mengemukakan cadangan membina.

Menurut Teresa, ia bagi menarik pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, bukan sekadar membantah acara seperti Rain Rave Water Music Festival.

Teresa dilaporkan mendakwa kedua-dua pihak itu gagal menawarkan alternatif bermakna walaupun lantang menentang program pelancongan. 

Teresa turut mengkritik rekod pelancongan negeri ditadbir PAS serta menegaskan pelancong asing datang untuk berehat dan berhibur, bukan dikekang peraturan moral berlebihan.

Walau bagaimanapun, menurut Nadzir, ketiadaan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada majlis penutup acara Rain Rave tersebut turut menimbulkan persoalan berhubung kesepakatan dalam kabinet.

“Lebih pelik, Anwar Ibrahim sendiri tak hadir majlis penutup. Isyarat apa tu? Bantahan senyap? Atau tanda bahawa dalam kabinet sendiri pun tak sepakat?” soalnya.

Beliau turut membidas pentadbiran kerajaan ketika ini yang berjalan secara ‘silo’ tanpa satu naratif besar yang memandu setiap kementerian.

“Menteri Pelancongan bawa agenda sendiri, condong kepada budaya tertentu yang mungkin langsung tak mencerminkan identiti negara. Dan tiba-tiba, salahkan orang lain?” bidasnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak kerajaan, khususnya Teresa Kok, supaya memperkemas dasar dan hala tuju pentadbiran sebelum menuding jari kepada pihak lain.

“Wahai Teresa Kok, pergi betulkan dulu kerajaan kamu. Susun dulu dasar yang jelas. Jangan alih perhatian dengan menyerang orang lain.

“Sebab hakikatnya hari ini, bukan pembangkang yang keliru. Rakyat yang keliru dengan kerajaan sendiri,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Nadzir Helmi menegaskan bahawa pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia tidak seharusnya dilihat sebagai sekadar penganjuran acara atau kempen promosi semata-mata.

Sebaliknya, ulas beliau, ia perlu berasaskan dasar negara yang jelas merangkumi sasaran pelancong, jumlah pelaburan, serta kawasan pembangunan yang ingin diberi tumpuan.

“Apa pendekatan kita? Pelancong mana yang kita sasarkan? Berapa pelaburan yang kita jangka? Kawasan mana yang kita nak bangunkan? Semua ini mesti lahir daripada satu prinsip dasar yang jelas,” tegas beliau.

Nadzir turut membandingkan pendekatan kerajaan terdahulu yang disifatkan mempunyai dasar jelas seperti ‘Dasar Pandang ke Timur’ yang diperkenalkan ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dulu, zaman Mahathir Mohamad, ada ‘Dasar Pandang ke Timur’. Jelas. Konsisten. Bukan hanya pelancongan, tapi membentuk budaya kerja, ekonomi dan arah negara. 

“Hari ini? Apa dasar utama kerajaan? Terus terang, tak nampak!” katanya. – HARAKAHDAILY 4/5/2026

- Advertisement -