40,000 kunjungi Karnival Candat Sotong Terengganu

Razali (dua dari kanan) memasang umpan pada gimik perasmian Karnival Candat Sotong Terengganu 2026.
- Advertisement -

MARANG: Karnival Candat Sotong Terengganu 2026 dan Program ‘International Kapas Marang Swimathon’ berjaya menarik kehadiran lebih 40,000 pengunjung sepanjang tempoh empat hari penganjurannya.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato’ Razali Idris berkata, sambutan memberangsangkan itu mencerminkan potensi besar sektor pelancongan Terengganu dalam menarik pelawat domestik dan antarabangsa.

Beliau yang mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penganjuran program berkenaan selari dengan usaha memperkukuh sektor pelancongan negeri menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Terengganu 2027.

“Jumlah kehadiran yang tinggi ini bukan sahaja menunjukkan daya tarikan unik negeri ini, malah turut memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Musim Candat Sotong Terengganu 2026 di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong, Pengarah Pelancongan Terengganu, Datuk Tengku Mohd Ariffin Tengku A.Rahman dan Pegawai Daerah Marang, Zulkifli Isa.

Katanya, musim candat sotong yang berlangsung dari Mei hingga Ogos setiap tahun merupakan antara acara utama dalam Kalendar Pelancongan dan Kebudayaan negeri, melibatkan hampir semua daerah pesisir pantai kecuali Hulu Terengganu.

“Ini menunjukkan bahawa manfaat ekonomi dan limpahan pelancongan dapat dirasai secara menyeluruh oleh komuniti setempat.

“Fenomena kehadiran sotong jarum yang berlaku baru-baru ini bukan sekadar musim biasa, tetapi merupakan petunjuk bahawa keseimbangan ekosistem pesisir pantai negeri ini masih terpelihara.

“Kehadirannya yang selari dengan udang bari, ikan pelata serta musim jambu golok membuktikan kelestarian alam yang terus memberikan manfaat kepada rakyat. Bermula dari pesisir Pantai Rusila hingga ke Kijal, fenomena ini telah merancakkan ekonomi komuniti nelayan dan peniaga kecil,” katanya.

Razali berkata, pemilihan Marang sebagai lokasi penganjuran adalah signifikan memandangkan daerah itu terkenal sebagai kawasan pendaratan sotong selain pintu masuk ke Pulau Kapas yang menjadi tarikan pelancong.

“Lebih membanggakan, Bandar Marang juga telah dinobatkan sebagai antara penerima Anugerah Bandar Paling Bahagia Tahun 2026 yang diumumkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, bersama-sama Bandaraya Kuala Terengganu dan Bandar Permaisuri, Setiu.

“Pengiktirafan ini mencerminkan kesejahteraan komuniti serta keharmonian kehidupan masyarakat setempat.

“Sebagai simbolik kepada identiti tersebut, Kerajaan Negeri juga telah membaikpulih arca sotong dan menempatkannya di kawasan Jeti Pelancongan Marang sebagai lambang “Daerah Sotong” di Negeri Terengganu, sekali gus menjadi tarikan ikonik kepada pengunjung,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Program International Kapas Marang Swimathon 2026 yang berlangsung hari ini di Pulau Kapas berjaya menarik penyertaan lebih 388 peserta dari dalam dan luar negara.

“Program ini bukan sahaja menyerlahkan potensi Terengganu sebagai destinasi pelancongan sukan bertaraf antarabangsa, malah turut mempromosikan keindahan semula jadi Pulau Kapas kepada para pelancong,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkata, sekiranya sambutan program itu memberangsangkan, pihaknya akan mempertimbangkan untuk menggabungkan acara tersebut sebagai sebahagian daripada Kalendar Musim Mencandat Sotong Terengganu pada tahun hadapan. – HARAKAHDAILY 4/5/2026

- Advertisement -