Terengganu catat 2.45 juta pelancong suku pertama 2026

Razali Idris
- Advertisement -

MARANG: Terengganu merekodkan kehadiran sebanyak 2.45 juta pelancong bagi suku pertama tahun ini, sekali gus mencerminkan momentum positif sektor pelancongan negeri itu.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato’ Razali Idris berkata, prestasi tersebut memberi petunjuk awal bahawa sasaran keseluruhan sembilan juta pelancong bagi tahun 2026 berpotensi dicapai.

“Alhamdulillah, hasil usaha berterusan ini mula menampakkan impak yang positif. Bagi suku tahun pertama 2026 sahaja, Negeri Terengganu telah menerima kehadiran seramai 2.45 juta pelancong dan pengunjung. 

“Pencapaian ini membuktikan bahawa Terengganu kekal relevan, kompetitif dan

menjadi pilihan utama pelancong yang mencari pengalaman unik, tenang dan berbudaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Musim Candat Sotong Terengganu 2026 di sini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong, Pengarah Pelancongan Terengganu, Datuk Tengku Mohd Ariffin Tengku A.Rahman dan Pegawai Daerah Marang, Zulkifli Isa.

Menurut beliau, anggaran awal menunjukkan kehadiran pelancong bagi tempoh tiga bulan pertama itu menyumbang antara RM700 juta hingga RM900 juta kepada ekonomi negeri.

“Anggaran tersebut dibuat secara sederhana dengan mengambil kira profil pelancong yang kebanyakannya berpendapatan sederhana serta menggunakan pengangkutan darat berikutan kapasiti penerbangan ke negeri itu yang masih terhad,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri akan menilai prestasi sektor pelancongan secara berkala setiap tiga bulan bagi meneliti sebarang kesan termasuk faktor luaran seperti perkembangan geopolitik semasa.

“Setakat ini, kita belum melihat sebarang kesan ketara terhadap kehadiran pelancong,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Razali berkata kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur bagi menyokong pertumbuhan sektor pelancongan.

Antaranya, katanya, projek menaik taraf Jambatan Marang yang kini mencapai kemajuan fizikal 66.92 peratus dan dijangka siap pada 24 Mac 2027 dengan kos RM397.5 juta.

“Setelah siap nanti, jambatan baharu empat lorong ini dijangka dapat mengurangkan kesesakan trafik, melancarkan pergerakan serta meningkatkan aksesibiliti ke kawasan Marang dan sekitarnya,” jelasnya.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa kerja-kerja membaik pulih Jambatan Pulau Kekabu dengan anggaran kos RM6 juta kini berada pada peringkat penyediaan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Ia dibuat sebagai langkah penting bagi memastikan pembangunan yang dirancang bukan sahaja efisien, malah lestari dan mengambil kira kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam sekitar,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/5/2026

- Advertisement -