
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan memperkukuh usaha pembangunan industri makanan ternakan melalui cadangan pembinaan kilang makanan haiwan bagi memenuhi keperluan tempatan dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, projek berkenaan dilaksanakan menerusi pendekatan Whole of Government (WoG) melibatkan lima agensi kerajaan.
“Antaranya Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Tanah dan Galian, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (PKPB) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC),” katanya.
Menurut beliau, pendekatan WoG itu penting bagi memastikan penyelarasan pelaksanaan projek lebih berkesan serta menyeluruh.
“Ini bagi memperkukuh rantaian bekalan industri ternakan supaya bekalan makanan lebih stabil, berkualiti dan dapat mengurangkan kos,” ujarnya.
Tambah beliau, projek tersebut masih di peringkat perbincangan namun berpotensi besar sebagai pemangkin sektor agromakanan negeri.
“Walaupun masih di peringkat awal, kita yakin ia mampu memberi impak besar kepada industri ternakan Kelantan,” jelasnya.
Beliau juga menyatakan bahawa kerjasama di bawah Kerjasama Empat Negeri (SG4) melibatkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis turut mampu memperkukuh rantaian industri makanan ternakan serantau.
“Setiap negeri mempunyai kekuatan masing-masing yang boleh digembleng bagi memperkasakan industri ini,” katanya.
Mesyuarat penyelarasan pembangunan kilang tersebut telah dipengerusikan beliau di Kota Darulnaim, di sini, semalam. – HARAKAHDAILY 4/5/2026




















