10 pasangan ditaja melancong selepas temui jodoh

Kejayaan inisiatif Portal Jodoh Darul Iman

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Seramai 10 pasangan pertama yang berjaya mendirikan rumah tangga menerusi Portal Jodoh Darul Iman akan ditaja melancong sama ada di dalam atau luar negara oleh kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, insentif itu diperkenalkan sebagai galakan kepada peserta yang menyertai platform berkenaan dalam usaha mencari pasangan hidup secara terancang.

- Advertisement -

Beliau berkata, setakat ini tujuh pasangan yang dipadankan menerusi portal berkenaan sudah bertunang, namun belum ada yang melangsungkan perkahwinan.

“Alhamdulillah, satu tawaran menarik kepada 10 pasangan pertama yang berkahwin melalui portal ini akan diberikan pakej melancong sama ada di dalam atau luar negara.

“Lokasi percutian itu akan dimaklumkan kemudian,” katanya ketika sesi jawab lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dalam soalan asal, Dr Mamad Puteh (PAS-Kuala Berang) minta menyatakan jumlah pasangan yang dapat disatukan melalui sistem Portal Jodoh Darul Iman yang telah dilancarkan pada tahun lepas.

Maliaman berkata, sehingga 30 Mac lalu, Portal Jodoh Darul Iman merekodkan 2,841 pendaftar dengan 1,929 daripadanya melengkapkan pendaftaran sepenuhnya manakala 912 lagi masih dalam proses penilaian semula.

“Berdasarkan kategori umur peserta, seramai 375 orang berumur bawah 25 tahun, diikuti 1,171 orang berumur antara 26 hingga 35 tahun, 360 orang berumur 36 hingga 50 tahun, serta 23 orang berumur 51 tahun ke atas.

“Dari segi status calon, seramai 1,690 orang merupakan bujang, 131 orang duda, 94 orang janda dan 14 orang balu. Mengikut pecahan jantina pula, seramai 1,046 orang ialah lelaki, manakala 883 orang ialah wanita,” katanya.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 55 pasangan sudah melalui sesi pertemuan pertama dengan 22 pasangan berjaya ke fasa ta’aruf, manakala 33 lagi tidak meneruskan proses berkenaan kerana tiada keserasian.

“Selain itu, sebanyak 87 perjumpaan dibatalkan, manakala 22 pasangan masih dalam proses perjumpaan, menjadikan keseluruhan 164 pasangan terlibat,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/4/2026

- Advertisement -