
KUALA LUMPUR: Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) meneruskan komitmen dalam misi kemanusiaan antarabangsa apabila menyalurkan bantuan awal berjumlah RM50,000 kepada rakyat Republik Islam Iran.
Menurut PASRelief, sumbangan itu diserahkan dalam satu pertemuan rasmi antara PASRelief dan Duta Besar Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi, yang berlangsung di Kedutaan Iran di sini.
“Pertemuan tersebut bukan sahaja bertujuan menyampaikan bantuan kemanusiaan, malah menjadi platform untuk bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa di Iran serta mengenal pasti keperluan mendesak yang memerlukan perhatian segera.
“Dalam pertemuan berkenaan, PASRelief menyerahkan sumbangan berjumlah RM50,000 sebagai bantuan awal kepada rakyat Iran,” ujar kenyataan PASRelief.
Delegasi PASRelief diketuai Pengarahnya, Mohd Yusni Mat Piah, bersama barisan kepimpinan lain iaitu Timbalan Pengarah 3 PASRelief merangkap Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Nuridah Mohd Salleh.
Juga Setiausaha PASRelief, Ahmad Rashdan Ikhsan, serta ahli jawatankuasa PASRelief, Siti Nur Hidayah Rasidi, Salamiah Mohd Nor, Najihatussalehah Ahmad dan Abdullah Acheh.
Tambah kenyataan itu, pertemuan berkenaan mencerminkan hubungan erat serta kerjasama berterusan antara PASRelief dan pihak kedutaan dalam usaha memperluaskan jaringan bantuan kemanusiaan merentas sempadan.
Dalam pada itu, PASRelief menegaskan komitmennya untuk terus aktif dalam pelbagai inisiatif kemanusiaan global, khususnya membantu masyarakat yang terjejas akibat krisis dan bencana.
“Usaha berterusan ini diharap dapat memberi impak positif, selain memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan serta mampu meringankan beban rakyat Iran.
“Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank Islamic (PASRelief) 5640-7061-2333 dengan rujukan ‘KECEMASAN’, selain menghubungi talian Hotline PASRelief di http://www.wasap.my/60175001144/,”
menurut kenyataan itu.
PASRelief merupakan sebuah badan kemanusiaan yang aktif melaksanakan pelbagai misi bantuan di dalam dan luar negara, termasuk bantuan bencana, konflik serta krisis kemanusiaan di beberapa wilayah seperti Asia Barat dan Asia Selatan.
Usaha ini selari dengan peningkatan keperluan bantuan kemanusiaan global susulan pelbagai krisis yang memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat di negara terlibat, termasuk Republik Islam Iran.
Iran ketika ini berdepan krisis kemanusiaan yang semakin memburuk susulan konflik bersenjata yang berlarutan sejak awal 2026, selain tekanan ekonomi berpanjangan akibat sekatan antarabangsa, inflasi tinggi dan kejatuhan nilai mata wang.
Keadaan itu turut menyebabkan gangguan besar terhadap infrastruktur asas, perpindahan penduduk dalam skala besar serta tekanan kepada sistem kesihatan dan bekalan makanan di beberapa kawasan terjejas.
Situasi ini menjadikan Iran antara negara yang berdepan tekanan kemanusiaan serius di rantau Asia Barat ketika ini. – HARAKAHDAILY 23/4/2026











