
DAMSYIK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam negara haram, Israel atas pencerobohan baharu ke wilayah Syria, memberi amaran bahawa pelanggaran ketenteraan mengancam peralihan politik yang ‘rapuh’ Syria.
Timbalan utusan khas PBB untuk Syria, Claudio Cordone pada sesi Majlis Keselamatan PBB berkata, aktiviti ketenteraan Israel di selatan Syria berterusan melanggar perjanjian dan undang-undang antarabangsa sedia ada.
Beliau menekankan satu insiden pada Rabu di mana berpuluh-puluh rakyat Israel menyeberangi beberapa ratus meter ke lokasi yang dilabelkan sebagai ‘Kawasan Pemisahan’ berhampiran kampung Hadar, di Syria menyifatkan tindakan itu sebagai ‘sangat provokatif’.
Sehubungan itu, Condone telah mengulangi seruan tegas kepada Israel untuk menghentikan pelanggaran, menghormati kedaulatan Syria, dan mematuhi Perjanjian Penarikan Tentera 1974.
Cordone juga menuntut pemulangan semua tahanan Syria yang ditangkap melanggar undang-undang antarabangsa.
Walaupun memuji usaha Syria untuk melindungi negara itu daripada konflik yang sedang melanda rantau ini, Condone memberi amaran bahawa prospek ekonom di negara itu masih membimbangkan.
Sementara ketua bantuan PBB, Tom Fletcher, telah berkongsi ‘trajektori yang lebih positif’, dengan menyatakan bahawa berjuta-juta penduduk Syria telah pulang ke rumah masing-masing, namun beliau memberi amaran bahawa ‘kemajuan Syria masih rapuh’.
“Hampir 300,000 orang telah menyeberang ke Syria dari Lubnan baru-baru ini, menambah kepada 1.6 juta pelarian yang telah kembali sejak akhir tahun 2024,” ujar beliau.
Fletcher juga memberi amaran bahawa gangguan berterusan pada laluan bekalan berisiko menghalang usaha pulang rakyat Syria dan pemulihan selama bertahun-tahun negara itu.
“Secara dalaman, lebih 13 juta orang masih memerlukan makanan, dan 12 juta kekurangan akses kepada air bersih,” ujarnya
Wakil khas PBB untuk kanak-kanak dan konflik bersenjata, Vanessa Frazier pula berkata kanak-kanak kekal sebagai golongan yang paling terdedah kepada bahaya terkorban angkara perang.
“Sekali lagi, kanak-kanak terperangkap dalam lingkaran keganasan dan kemusnahan yang membawa maut.
“Hharapan bahawa sokongan antarabangsa masih dapat memberikan ‘perubahan positif dan berkekalan’,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/4/2026











