
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, menjelaskan kerajaan negeri menetapkan mekanisme pemantauan yang menyeluruh bagi memastikan Belanjawan 2026 dilaksanakan mengikut skop kos, garis masa dan sasaran yang telah ditetapkan.
Menurut beliau, Pejabat Perbendaharaan Negeri bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri memainkan peranan utama sebagai penyelaras dan pemantau pelaksanaan program serta projek-projek utama negeri di bawah Belanjawan 2026.
Katanya, kedua-dua agensi itu bertanggungjawab memastikan setiap program dan projek menepati sasaran serta objektif yang telah ditetapkan sejak awal pembentangan belanjawan.
“Perbelanjaan Bajet 2026 diuruskan secara berhemah dengan mengambil kira impak dan kesan jangka pendek serta jangka panjang terhadap kedudukan kewangan semasa, selain mengambil kira ekonomi negara yang sedang berdepan ketidaktentuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Dato’ Abdul Hadi Awang Kechil (PAS-Kuala Balah) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut memantau secara lebih dekat pelaksanaan projek-projek pembangunan yang bersifat segera dan berkepentingan rakyat supaya manfaatnya dapat dirasai secara langsung.
Beliau menjelaskan bahawa langkah tersebut dilaksanakan melalui semakan semula keutamaan projek, kajian impak projek serta penilaian kos kewangan projek bagi memastikan setiap peruntukan digunakan secara optimum.
“Semua projek pembangunan akan dikawal selia melalui Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeriyang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri,” ujarnya.
Sementara itu, Bahagian Koordinasi dan Program Khas (BKPK), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri berperanan sebagai urus setia pemantauan projek pembangunan negeri.
“Antara mekanisme yang telah ditetapkan ialah pelaporan berkala bulanan, pemantauan menerusi lawatan tapak secara berkala serta mekanisme tindakan terhadap projek yang lewat atau gagal mencapai sasaran melalui agensi pelaksana,” katanya.
Mengulas langkah mitigasi risiko terhadap ketidaktentuan ekonomi, Mohd Nassuruddin Daud
Menyatakan bahawa suasana ekonomi global ketika ini sememangnya tidak menentu dan boleh memberi kesan kepada perancangan awal kerajaan negeri dari segi perbelanjaan serta pelaksanaan program.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri telah mengambil beberapa langkah proaktif.
“Pertama, tadbir urus kewangan berdisiplin, iaitu memastikan setiap perbelanjaan negeri diurus dengan penuh integriti, cekap dan berhemah bagi menjamin kemampanan fiskal.
“Kedua, bajet berimpak tinggi, dengan memberi fokus kepada projek dan inisiatif yang memberikan pulangan nilai maksimum serta manfaat langsung kepada rakyat,” jelasnya lagi.
Beliau menambah, langkah ke tiga pula ialah kerjasama Persekutuan–Negeri, melalui pengukuhan hubungan dan sinergi antara kerajaan negeri dan Persekutuan bagi melancarkan pelaksanaan projek pembangunan nasional di peringkat negeri.
Dalam pada itu, ujar beliau, menjadi dasar kerajaan negeri untuk mengutamakan penglibatan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dalam pelaksanaan pelbagai program dan projek pembangunan selaras dengan kepakaran, bidang tumpuan dan keupayaan strategik setiap GLC.
“Bagi sektor pertanian dan bioteknologi, katanya, ia diterajui oleh Kelantan Biotech Corporation dan Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad yang berperanan sebagai pemangkin pembangunan industri bioteknologi dan agro berasaskan inovasi di negeri ini.
“Sektor digital dan teknologi maklumat pula diperkukuh melalui peranan Infra Quest dan Kelantan ICT Gateway sebagai agensi sehenti serta rakan strategik kerajaan negeri dalam merancang, menyelaras dan memantau pembangunan ICT serta ekonomi digital,” ujar beliau lagi.
Tambah beliau, sektor perlombongan dan sumber mineral dilaksanakan melalui syarikat seperti PMBK Azzahab dan Kelstone yang terlibat dalam aktiviti perlombongan mineral serta aktiviti hiliran berkaitan.
“Sementara, sektor tenaga hijau dan utiliti digerakkan oleh Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings yang menerajui pelaburan strategik dalam bidang tenaga hijau, pengurusan sisa, air bersih dan teknologi lestari.
“Kesemua GLC ini turut menganggotai Jawatankuasa Portfolio Exco mengikut sektor masing-masing bagi memastikan penyelarasan dasar, keberkesanan pelaksanaan serta memaksimumkan impak pembangunan ekonomi negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/4/2026




















