
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri sedang meneliti keperluan peruntukan khas bagi menangani masalah hakisan pantai dan mendapan pasir yang menjejaskan laluan bot nelayan serta kawasan perkuburan lama di Tok Jembal di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Fasiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata, isu berkenaan diberi perhatian serius berikutan ia melibatkan keselamatan penduduk dan kelangsungan aktiviti nelayan setempat.
Menurut beliau, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu telah mengemukakan cadangan projek melibatkan kerja mitigasi hakisan dan pengurusan mendapan pasir di kawasan berkenaan.
“Berdasarkan penilaian awal, anggaran kos sebanyak RM500,000 diperlukan bagi melindungi kawasan perkuburan melalui kerja penambakan pasir dan pembinaan lapis lindung batu.
“Sementara sebanyak RM1 juta lagi diperlukan bagi mengatasi masalah mendapan pasir yang menjejaskan laluan bot nelayan,” katanya ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Hanafiah berkata, kerajaan negeri sedang meneliti cadangan berkenaan sebelum sebarang keputusan dibuat dengan mengambil kira kedudukan kewangan semasa serta keutamaan projek.
“Cadangan projek turut diperincikan untuk dikemukakan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia serta Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu bagi mendapatkan pertimbangan bantuan peruntukan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Terdahulu, Khazan Che Mat (PAS-Seberang Takir) membangkitkan isu timbunan pasir di pangkalan nelayan Tok Jembal yang disifatkan semakin serius sehingga menjejaskan kelancaran aktiviti harian nelayan.
“Keadaan itu bukan sahaja mengganggu pergerakan bot, malah berpotensi menjejaskan sumber pendapatan nelayan sekiranya tidak ditangani segera,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/4/2026




















