Kawalan hiburan diperketat bendung budaya hedonisme

Wan Sukairi Wan Abdullah
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu terus memperketat kawalan terhadap penganjuran aktiviti hiburan di negeri ini bagi memastikan unsur budaya hedonisme dapat dibendung daripada menular dalam masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, setiap permohonan lesen hiburan diteliti secara menyeluruh oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) mengikut peruntukan Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002.

- Advertisement -

Beliau berkata, penilaian dibuat berdasarkan peraturan berkuat kuasa termasuk Garis Panduan Hiburan, Persembahan, Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu sebelum sesuatu permit diluluskan.

“Pihak berkuasa tempatan sebagai pegawai pelesen akan memastikan setiap aktiviti hiburan yang diluluskan berdasarkan peraturan-peraturan yang ditetapkan.

“Berdasarkan rekod, sepanjang tempoh 2024 hingga 2026, sebanyak 521 permohonan hiburan telah diluluskan, manakala 28 kompaun dengan nilai keseluruhan RM185,000 dikeluarkan terhadap pihak yang melanggar syarat ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, pada Rabu.

Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata, tindakan penguatkuasaan itu menunjukkan kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang berkaitan hiburan.

“Insya-Allah, Pihak Berkuasa Tempatan akan sentiasa meningkatkan pemantauan bagi memastikan aktiviti hiburan yang dilakukan sentiasa mematuhi syarat-syarat yang telah
ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, Dr Riduan Mohamad Nor (PAS-Jerteh) menerusi sesi perbahasan menyentuh mengenai budaya hedonisme.

Beliau menyarankan agar Kerajaan Terengganu lebih tegas dalam menjaga anak-anak muda sebagai generasi pewaris perjuangan, termasuk melindungi akal serta keterampilan intelektual mereka daripada ancaman dadah dan budaya hedonisme.- HARAKAHDAILY 23/4/2026

- Advertisement -