
KUALA TERENGGANU: Selisih faham dalam keluarga dikenal pasti sebagai punca utama kes keganasan rumah tangga di Terengganu dengan mencatatkan 206 daripada 296 kes yang direkodkan pada tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, berkata, selain konflik dalaman keluarga, penyalahgunaan dadah turut menyumbang kepada kejadian itu dengan 67 kes direkodkan.
Beliau berkata, statistik berkenaan menunjukkan isu keganasan rumah tangga di negeri itu masih berada pada tahap membimbangkan dan memerlukan perhatian serius semua pihak.
“Ini menunjukkan bahawa aspek pengurusan emosi, komunikasi dalam keluarga serta penyalahgunaan dadah merupakan antara faktor utama yang perlu ditangani secara bersepadu,” katanya ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini.
Mengikut pecahan daerah, Kuala Terengganu merekodkan jumlah tertinggi dengan 92 kes, diikuti Besut sebanyak 61 kes dan Kemaman 53 kes.
“Statistik ini jelas menunjukkan masalah ini merentasi semua daerah dan tidak tertumpu di kawasan tertentu sahaja,” katanya.
Menurut Maliaman, dari segi demografi, majoriti mangsa terdiri daripada golongan wanita seramai 196 orang berbanding 103 lelaki.
“Kumpulan umur paling terkesan ialah antara 26 hingga 45 tahun yang sepatutnya menjadi teras kestabilan institusi keluarga.
“Bagi suspek pula, majoritinya adalah lelaki dengan jumlah 296 orang dan tertumpu dalam lingkungan umur 26 hingga 45 tahun,” jelasnya.
Mengulas lanjut beliau berkata, ia menunjukkan bahawa keganasan rumah tangga banyak berlaku dalam kalangan pasangan atau ahli keluarga yang berada dalam fasa aktif kehidupan berkeluarga.
“Dari segi hubungan, kes paling tinggi melibatkan suami dengan 98 kes, diikuti adik-beradik sebanyak 78 kes dan anak kandung sebanyak 49 kes.
“Fakta ini menggambarkan bahawa keganasan berlaku dalam lingkungan hubungan yang paling rapat, sekali gus memberi kesan mendalam kepada kesejahteraan institusi keluarga,” ujarnya.
Tambah beliau, isu keganasan rumah tangga bukan sahaja memerlukan tindakan penguatkuasaan, tetapi juga pendekatan menyeluruh melibatkan pendidikan, sokongan sosial dan pengukuhan institusi keluarga.
“Kerajaan negeri akan terus komited dalam memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara melalui pelbagai inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan,” katanya.
Terdahulu, Zuraida Mohd Noor (PAS-Ladang) menerusi perbahasan menyentuh mengenai peningkatan kes perceraian di Terengganu yang mencecah 3,810 kes tahun lalu.
Beliau berkata, tindakan segera amat diperlukan bagi mengelakkan krisis itu terus menggugat kestabilan institusi keluarga di negeri ini.
“Jumlah tersebut meningkat berbanding 2,798 kes pada 2024 dan 1,802 kes pada 2023, sekali gus menjadi rekod tertinggi dalam tempoh tujuh tahun,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/4/2026




















