Perkukuh tadbir urus, pelaburan, kebajikan rakyat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Tadbir urus berintegriti, pembangunan projek strategik negeri, pengurusan hutan secara mampan sertakebajikan usahawan dan peniaga kecil menjadi antara perkara utama yang diberi perhatian oleh kerajaan negeri.

Menurut Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, kecekapan pentadbiran, integriti dan ketelusan perlu terus menjadi teras dalam setiap urusan rasmi kerajaan.

- Advertisement -

“Kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk kelemahan tadbir urus, kelewatan yang tidak munasabah atau sikap sambil lewa dalam melaksanakan tugas.

“Setiap pegawai perlu melaksanakan amanah dengan penuh disiplin, komitmen dan rasa tanggungjawab yang tinggi, dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi pergulungan usul menjunjung kasih Titah Diraja di Dewan Negeri Kelantan, di sini, pada Rabu.

Menyentuh perkara yang dibangkitkan Dato’ Abdul Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumbuh) mengenai pengurusan penghulu, Mohamed Fadzli memaklumkan Urus Setia Penghulu telah melaksanakan beberapa program pemerkasaan sepanjang tahun ini.

“Antaranya ialah Kursus Induksi Penghulu Baharu 2026, Kursus Leadership Trust, kursus dan bengkel kemahiran kecerdasan buatan (AI), kursus pemerkasaan pengurusan Majlis Penyelaras Pembangunan Kelantan (MPKK), seminar kebajikan dan ekonomi MPKK, serta program pemerkasaan masyarakat Orang Asli di Gua Musang,” jelas beliau.

Katanya, semua inisiatif itu bertujuan memperkukuh keupayaan, profesionalisme dan integriti penghulu serta kepimpinan di peringkat akar umbi.

Dalam isu pembangunan strategik yang dibangkitkan Zuraidin Abdullah (PAS-Chetok) dan ​Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) pula, beliau menjelaskan bahawa kerajaan negeri sedang menggerakkan perancangan pembangunan bandar baharu dan pusat pentadbiran strategik secara berfasa.
“Antaranya ialah pembangunan Bandar Baharu Buloh Poh dan Bandar Baharu Kok Lanas di Ketereh, yang kini berada di peringkat penilaian kertas cadangan pelabur oleh INVEST Kelantan.
“Di Gua Musang pula, pembangunan Halaqat City di Chiku 3 sedang melalui proses penyelarasan dasar dan perundangan, termasuk cadangan penamatan kawasan GSA yang kini tertakluk kepada pertimbanganpihak Persekutuan.

“Sementara itu, pembangunan Bandar Tumpat Perdana dan Pusat Pentadbiran Baharu Kuala Krai turut dipergiat dengan usaha mengenalpasti pelabur berpotensi,” ujar Mohamed Fadzli.
Tambah beliau, penyusunan semula Zon Bebas Cukai Rantau Panjang juga sedang dilakukan dengan penambahbaikan teknikal terhadap pelan susun atur.

Menyentuh pembangunan Tok Bali, beliau berkata kawasan itu dirangka secara komprehensif sebagai bandar maritim, pelabuhan dan pusat pelancongan berdaya saing.

Beliau berkata, Rancangan Kawasan Khas Tok Bali 2045 melibatkan keluasan 16,810.62 hektar, merangkumi beberapa mukim di Pasir Puteh dan Bachok.

“Antara komponen utama ialah pembangunanTok Bali Supply Base seluas 320 hektar yang berfungsi sebagai pelabuhan industri dan berpotensi menjadi terminal petrokimia,” katanya.

“Fasa 1 telah siap sepenuhnya, manakala Fasa2 kini mencapai sekitar 50 peratus dan dijangka siap pada tahun 2027,” jelasnya.

Beliau berkata, kemasukan syarikat seperti Chevron, PPJO dan Hibiscus Malaysia telah mengukuhkan Tok Bali sebagai hab industri maritim yang semakin berkembang.

Selain itu, ujar beliau, pembinaan Pejabat Polis Marin telah siap dan kini dalam proses mendapatkan CCC, manakala Tok Bali Integrated Fisheries Park kini mencapai kira-kira 30 peratus kemajuan.

“Dalam sektor perumahan pula, 500 unit rumah PRIMA Fasa 1A telah siap, dengan pembangunan keseluruhan dijangka selesai menjelang 2028,” katanya.

“Secara keseluruhan, pembangunan Tok Bali kini mencapai sekitar 60 hingga 70 peratuskemajuan,” katanya lagi.

Menyentuh isu yang dibangkitkan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (BN-Nenggiri)berkaitan Orang Asli, pembalakan, Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dan ladang hutan, Mohamed Fadzli menegaskan bahawa pengurusan kawasan Hutan Simpan Kekal termasuk di Nenggiri dilaksanakan secara terancang dan berlandaskan undang-undang.

“Kerajaan negeri mengiktiraf kewujudan komuniti Orang Asli di kawasan seperti Pos Rekom, Pos Simpor, Pos Tohoi dan Pos Gob, serta hubungan tradisi mereka dengan kawasan hutan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi memastikan aktiviti ekonomi masyarakat Orang Asli dapat dilaksanakan secara sah dan mampan.

Beliau juga menyatakan, pembangunan ladang hutan seluas 189,766.60 hektar telah diluluskandengan pematuhan kepada ketetapan Majlis Tanah Negara dan syarat Penilaian Impak Alam Sekitar.

“Sehingga kini, pembangunan ladang hutan telah meliputi 136,923.93 hektar, dengan kadar penubuhan sekitar 60 peratus,” ujarnya.

Menjawab persoalan Mohd Rodzi Ja’afar (PAS-Gaal) mengenai kelewatan lesen pemindahan kayu getah, beliau berkata Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan telah melakukan penambahbaikan proses.

“Purata pengeluaran Lesen Pemindah (Borang 5) ialah sekitar 55 lesen sebulan, dengan tempoh pengeluaran dalam 14 hari garis panduan terkini,” katanya.

“Dalam aspek ekonomi dan keusahawanan, beliau berkata kerajaan negeri telah meluluskan Skim Kredit Mikro berjumlah RM1 juta berasaskan konsep qard bagi membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS),” katanya lagi.

Beliau menambah, skim itu menawarkan pembiayaan antara RM3,000 hingga RM10,000 dengan tempoh bayaran balik antara tiga hingga lima tahun.
“Lebih membanggakan, bagi dua bulan pertama tahun 2026, pencapaian kutipan bayaran balik ialah 100 peratus,” katanya.

Mohamed Fadzli turut memaklumkan kerajaan negeri meluluskan peruntukan hampir RM150,000 bagi menaja 900 penerima di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menurutnya, inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri da
lam memperluas perlindungan sosial kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.
“Segala pandangan yang dibahaskan akan terus diteliti dan diterjemahkan dalam kerangka tadbir urus yang berintegriti, telus dan berakauntabiliti demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/4/2026

- Advertisement -