Beza cara menjelaskan isu zakat dengan tuduhan seleweng projek di Perlis

- Advertisement -

ISU DUIT zakat telah dijelaskan oleh Mufti Perlis. Dikatakan ia bukan duit kutipan zakat oleh negeri, tetapi duit zakat yang telah dikutip, diaudit yang kemudiannya diserahkan kembali kepada NGO untuk diagihkan.

Untuk rekod, Perlis mengamalkan cara kutipan dengan menawarkan peratusan tinggi yang akan diberikan kembali kepada amil yang dilantik mereka untuk dibuat agihan sendiri, jika tidak mahu MAIPs uruskan. Jadi ramai amil dari luar Perlis mendaftarkan diri untuk menjadi amil MAIPs bagi menguruskan sendiri agihan zakat.

- Advertisement -

Dari penjelasan Mufti Perlis ini memberi maksud, boleh mengambil wang dari asnaf yang diberikan kepada pihak ketiga, kerana wang itu sudah menjadi milik asnaf, dia boleh membelanjakan mengikut keperluan mereka, tanpa ada audit lagi. MAIPs sudah tidak terlibat selepas proses menyerahkan kembali wang zakat untuk diagihkan itu.

Hanya sahaja, begitu lembut Mufti Perlis memperbetulkan keadaan yang mengelirukan ini dengan menafikan penglibatan MAIPs dalam sebarang penyelewengan, walaupun jelas ada penuduh yang menuduh MAIPs terlibat. Di samping menyatakan MAIPs telah diaudit oleh JAKIM. Ianya bagus.

Cuma yang saya nampak, berbeza dengan bantahan oleh beliau yang lebih keras terhadap Presiden PAS dalam isu penukaran Menteri Besar Perlis dahulu. Walaupun TG Presiden PAS langsung tidak menyebut istana Perlis terlibat dalam apa-apa projek, hanya menyatakannya secara umum ada golongan yang menyeleweng projek serta berebut jawatan.

Tetapi Mufti Perlis tetap mencabar TG Presiden PAS supaya menyebut secara jelas kerana ia boleh mengundang fitnah. Beliau kemudiannya menjelaskan cabaran itu dibuat atas nama Raja Perlis. Sambil beliau memuji-muji betapa tawaduknya Raja dan Raja Muda Perlis. Beliau sepertinya menjadi jurucakap rasmi istana Perlis ketika itu.

Begitulah…

Walau bagaimanapun, tiada kedengaran tuduhan dari pimpinan PAS terhadap Ikram, NGO yang dituduh terlibat itu walaupun Ikram adalah musuh PAS. Mungkin masih ramai lagi yang ingat pemimpinnya yang berkhianat ketika bersama PAS dahulu. Ini kerana PAS mengamalkan prinsip tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, walau siapapun mereka.

Saya yakin, ia tidak akan berlaku jika hal ini melibatkan pimpinan PAS atau NGO yang terkait dengan PAS. Habis caci maki, umpat keji, sumpah seranah, laknat dan segala mak nenek carut mencarut yang akan keluar dari mulut atau tulisan mereka kepada PAS walaupun hanya dipanggil untuk siasatan.

Memberikan perbezaan jelas sikap PAS yang jelas mengikut ajaran agama.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 23/4/2026

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -