Turkiye gesa keahlian PBB Israel digantung

Numan Kurtulmus
- Advertisement -

ISTANBUL: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa menggantung keahlian Israel, mengkritik langkah negara haram itu yang telahvmemperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) hukuman mati terhadap tahanan Palestin.

- Advertisement -

Speaker Parlimen Turkiye, Numan Kurtulmus berkata, Israel kini menggunakan amalan serupa terhadap rakyat Palestin, termasuk rancangan untuk mengenakan hukuman mati di Tebing Barat, dan mempersoalkan kesahihan keputusan oleh mahkamah tentera.

“Bukankah satu undang-undang untuk rakyat Palestin dan satu lagi untuk rakyat Israel di satu negara adalah apartheid?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Perhimpunan Agung ke-152 Kesatuan Antara Parlimen (IPU), di sini. 

Sehubungan itu, Kurtulmus berkata sistem antarabangsa sebelum ini telah bertindak terhadap apartheid, mengingatkan penggantungan keahlian PBB Afrika Selatan pada tahun 1974.

Beliau juga mengkritik PBB, dengan mengatakan pertubuhan itu gagal menghentikan konflik baru-baru ini dan menjadi tidak berkesan dalam mencegah keganasan yang berterusan, terutamanya di Gaza.

“Malangnya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menjadi sebuah institusi antarabangsa yang diarahkan selaras dengan kehendak mereka yang memegang kuasa,” tegasnya.

Beliau turut mempersoalkan mekanisme antarabangsa mana yang boleh menghentikan apa yang beliau sifatkan sebagai serangan berterusan Israel sejak 7 Oktober 2023, yang katanya telah mencapai tahap pembunuhan beramai-ramai.

Kurtulmus juga mempersoalkan siapa yang boleh menghentikan konflik serantau yang semakin meluas, dengan bertanya bagaimana perang yang beliau katakan bermula dengan serangan AS dan Israel ke atas Iran dan sejak itu telah merebak ke seluruh rantau ini boleh dihentikan.

Tambah beliau, tadbir urus global sedang gagal, dengan menyatakan bahawa institusi masih wujud di dunia, tetapi ia tidak lagi menjalankan sebarang fungsi yang bermakna institusi ini telah runtuh.

Mengetengahkan perkembangan serantau, beliau menyatakan bahawa dalam tempoh tiga tahun yang lalu, banyak negara Timur Tengah telah menghadapi pelanggaran kedaulatan mereka, termasuk Lubnan, Palestin, Syria, Yaman, Qatar, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), menyifatkan tindakan sedemikian sebagai tidak boleh diterima.

Sehubungan itu, Kurtulmus menggariskan bahawa semua negara mempunyai hak berdaulat yang sama rata dan perkara ini perlu dipastikan adalah tanggungjawab bersama keluarga manusia.

“Masyarakat antarabangsa mesti berusaha untuk “menghidupkan semula harapan, memperkukuh keamanan, dan mewujudkan keadilan,” katanya.

Sementara itu di luar acara tersebut, Kurtulmus telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Majlis Syura Oman, Khalid Al Maawali.

Beliau sehubungan itu telah melahirkan rasa kesal atas cabaran yang dihadapi Oman di tengah-tengah perang susulan serangan AS dan Israel ke atas Iran, dan mengucapkan terima kasih kepada Oman atas usaha pengantaraan sebelumnya. 

Beliau juga menyeru agar rundingan di Pakistan disambung semula untuk mengubah gencatan senjata sementara menjadi berkekalan.

Mengkritik tindakan Israel di rantau ini, beliau berkata serangan Israel ke atas Iran berisiko mencetuskan permusuhan yang berpanjangan antara negara-negara Teluk.  – HARAKAHDAILY 16/4/2026

- Advertisement -