Dahulukan makan ketika iqamah

- Advertisement -

Soalan:

Ada penceramah yang menyebut apabila telah dihidangkan makanan dan bilal pula melafazkan iqamah maka hendaklah kita makan dahulu. Adakah ianya hadis atau pendapat ulamak sahaja? Kalau kita dahulukan solat juga adakah solat kita sah?

- Advertisement -

Jawapan:

Perintah mendahulukan makan atas solat apabila makanan telah dihidangkan itu ialah dari pada hadis-hadis Nabi sollallahu alaihi wasallam.

Setengah daripadanya hadis yang telah diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a.:

عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ : إذا وُضِعَ عَشاءُ أحَدِكُم وأُقيمَتِ الصَّلاةُ، فابدَؤوا بالعَشاءِ

Ertinya: “Daripada Nabi sollalahu alaihi wasallam telah bersabda: Apabila telah dihidangkan makanan malam kamu dan telah diiqamahkan akan solat maka mulakanlah oleh kamu sekalian dengan makan malam.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Berkata Imam Al-Imrani As-Syafie:

إذا حضر العَشَاءُ والعِشَاءُ، وأُقيمت الصلاة فابدءوا بالعَشَاء

Ertinya: “Apabila telah disediakan makan malam dan (masuk waktu) solat isyak dan telah diiqamahkan bagi solat maka hendaklah didahulukan dengan makan malam.” (Kitab Al-Bayan)

Jika seorang itu dahulukan juga akan solat maka solatnya itu sah dan ialah pendapat jumhur ulamak dan kata setengah mereka solatnya itu tidak sah.

Berkata Imam Al-‘Aini:

اخْتلفُوا فِي هَذَا الْأَمر، فالجمهور على أَنه للنَّدْب. وَقيل: للْوُجُوب، وَبِه قَالَت الظَّاهِرِيَّة، وَقَالُوا: لَا يجوز لأحد حضر طَعَامه بَين يَدَيْهِ وَسمع الْإِقَامَة أَن يبْدَأ بِالصَّلَاةِ قبل الْعشَاء، فَإِن فعل فَصلَاته بَاطِلَة، وَالْجُمْهُور على الصِّحَّة

Ertinya: “Telah bersalahan oleh ulamak pada perintah ini yakni mendahulukan makan malam atas solat maka jumhur ulamak berjalan atas bahawasanya ianya perintah sunat dan kata setengahnya wajib dan dengannya telah berkata oleh mazhab Az-Zahiriah. Berkata mereka ini: Tidak harus bagi seorang pun yang telah hadir hidangan makannya di hadapannya dan mendengar ia akan iqamah bahawa dimulakan olehnya dengan solat sebelum makan malam. Maka jika dia berbuat yang demikian itu maka solatnya batal. Dan jumhur ulamak berpendapat solatnya itu sah.” (Kitab ‘Umdah Al-Qari)

Kesimpulannya, jika telah dihidangkan makanan manakala iqamah juga telah dilaungkan maka sunat kita dahulukan dengan makanan dan jika didahulukan dengan solat juga nescaya sah solatnya.

Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 16/4/2026

- Advertisement -