
SEREMBAN: Kerajaan negeri digesa supaya turun padang dan segera menyelesaikan secara serius isu projek yang telah menjejaskan tanah, keselamatan serta kehidupan harian penduduk Kampung Jijan, Nilai, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Isu Projek Timbal Balik Kampung Jijan, Sukor Jeemaun berkata, lawatan pemimpin tidak seharusnya sekadar bersifat simbolik tanpa tindakan konkrit menyelesaikan masalah rakyat.
“Datanglah tengok keadaan sebenar, jangan sekadar hadir program. Isu ini bukan untuk ambil hati sesiapa, tapi untuk diselesaikan. Ini melibatkan keselamatan dan masa depan penduduk,” katanya kepada Harakahdaily.
Beliau berkata, penduduk tidak menolak pembangunan, namun membantah kaedah pelaksanaan projek yang dilaksanakan dengan tidak mengikut prosedur serta mengabaikan kepentingan komuniti setempat.
Tambah Sukor, beberapa sesi pertemuan telah diadakan bersama pihak berkaitan termasuk pejabat daerah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kontraktor serta agensi lain, namun sehingga kini tiada penyelesaian diberikan.
“Dua kali pertemuan dibuat, malah dipanggil semula ke pejabat daerah, tetapi hanya sesi mendengar tanpa jawapan. Dijanjikan maklum balas dalam tempoh dua hingga tiga minggu, namun sudah enam minggu berlalu tanpa hasil,” ujarnya kesal.
Dalam pada itu, beliau berkata penduduk turut meluahkan kekecewaan apabila isu tersebut sering dipindahkan tanggungjawab antara pihak berkuasa tempatan, penghulu dan agensi berkaitan tanpa penyelesaian tuntas.
Menurutnya, lebih membimbangkan apabila projek berkenaan tetap diteruskan walaupun mendapat bantahan penduduk, termasuk aktiviti pengambilan pasir menggunakan pontun yang dikatakan tidak sesuai dengan kategori Sungai Jijan iaitu sungai gred tiga.
“Kalau ikut maklumat, sungai ini tidak layak untuk operasi pontun. Tapi kerja tetap berjalan. Ini menimbulkan persoalan sama ada peraturan dipatuhi atau tidak,” persoal Sukor lagi.
Beliau turut menegaskan perihal akibat daripada aktiviti pengorekan pasir yang dilakukan telah menyebabkan hakisan tebing sungai menjadi semakin serius, sekali gus mengancam tanah milik individu.
Sementara itu seorang penduduk, Nain Jayid pula berkata, aktiviti sama telah mengakibatkan keadaan tebing sungai menjadi semakin terhakis, khususnya ketika berlakunya hujan lebat.
“Kawasan yang dahulunya selamat kini semakin terhakis sedikit demi sedikit setiap kali hujan. Dulu saya tanam pokok jauh dari tebing, sekarang tanah runtuh. Kalau berterusan, tanah boleh hilang. Ini bukan isu kecil sebab melibatkan harta kita kumpul bertahun-tahun,” katanya.
Beliau turut membangkitkan kecurigaannya terhadap aktiviti pengangkutan pasir yang dilakukan kenderaan berat pada waktu malam, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai ketelusan operasi projek tersebut.
Sehubungan itu, beliau berharap agar kerajaan negeri bersikap lebih telus, tidak mempolitikkan isu dan segera duduk semeja bersama warga penduduk bagi mencari penyelesaian yang adil serta menyeluruh.
“Kami bukan menolak pembangunan, tetapi jangan sampai pembangunan itu menindas dan merugikan rakyat. Kalau kerajaan ambil alih secara rasmi dan bayar pampasan, kami boleh terima. Tapi sekarang ini macam ceroboh tanah orang,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Misran Sharip yang juga seorang guru berkata, beliau bimbang terhadap risiko keselamatan termasuk kemungkinan tanah runtuh dan bahaya pasir jerlus boleh mengancam nyawa, khususnya kanak-kanak sering bermain di kawasan sungai.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan keberkesanan projek tersebut dalam menangani masalah banjir, malah katanya ia berpotensi memburukkan keadaan sekiranya tidak dirancang secara menyeluruh.
“Kalau betul nak selesaikan banjir, perlu ada perancangan menyeluruh seperti pembinaan kolam takungan dan pengurusan aliran air. Bukan sekadar korek sungai tanpa kajian,” ujarnya.
Penyelaras Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin berkata, kawasan berkenaan adalah milik individu dan sebarang pembangunan perlu mengambil kira hak pemilik termasuk pampasan sewajarnya.
Beliau turut mencadangkan agar projek dihentikan sementara, jajaran sungai dikaji semula dan kerajaan negeri mengambil alih kawasan terlibat secara sah dengan bayaran pampasan sebelum sebarang kerja diteruskan.
Sungai Jijan di Nilai merupakan sebahagian daripada sistem saliran utama yang mengalir melalui kawasan Kampung Jijan, sebuah penempatan lama dan masih dihuni komuniti setempat serta dikelilingi tanah milik persendirian.
Sungai ini memainkan peranan penting dalam mengalirkan air dari kawasan sekitarnya sebelum memasuki aliran sungai yang lebih besar, namun sejak kebelakangan ini, aktiviti pembangunan dan kerja-kerja pengorekan sungai tersebut telah mengubah keadaan fizikal tebing serta aliran sungai.
Perubahan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk terhadap risiko hakisan tanah, keselamatan kawasan kediaman dan potensi kehilangan tanah milik individu, khususnya ketika musim hujan. – HARAKAHDAILY 16/4/2026












