‘Soft porn’ di UM: Citra seni jangan dicemari maksiat

Siasat, pelajar terbabit perlu diberikan pengajaran

Asmak Husin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kontroversi persembahan teater yang menyelitkan adegan intim ‘soft porn’ atas katil dalam satu pertandingan Karnival Teater (Karviter) di Universiti Malaya (UM) perlu disiasat dan pelajar-pelajar yang terlibat dengan teater berkenaan wajib diberikan pengajaran.

- Advertisement -

Pengerusi Pembangunan Insan dan Kerukunan Keluarga  Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Asmak Husin berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan daripada pihak UM yang memaklumkan bahawa pementasan babak tersebut telah lari daripada skrip asal yang telah ditapis. 

“Oleh itu, saya berharap perkara ini harus disiasat dan pelajar yang terlibat perlu diberikan pengajaran. 

“Hal ini kerana mereka telah mula menunjukkan normalisasi dalam pementasan teater yang sepatutnya bersih dan menampilkan citra kesenian yang baik, namun akhirnya membawa kepada normalisasi maksiat di pentas terbuka sambil menerima tepukan dan sorakan penonton (yang dikhuatiri juga terdiri daripada pelajar-pelajar UM),” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Menurutnya, beliau melihat perkara ini juga berpunca daripada pengaruh media seperti televisyen dan media sosial. 

“Di televisyen, terdapat kecenderungan yang agak ketara memaparkan babak di dalam bilik tidur, di atas katil serta babak-babak berunsur ‘soft porn’ yang akhirnya membentuk pemikiran pelajar dalam bidang ini sehingga mereka menganggap perkara tersebut tidak melampau.

“Saya juga memerhatikan bahawa terdapat pelakon (pelajar-pelajar) wanita yang bertudung dalam pementasan tersebut (termasuk seorang daripadanya yang terbabit dalam adegan atas katil). 

“Bagi mereka, perkara itu mungkin dianggap biasa kerana sudah terbiasa dengan persekitaran dan latar belakang sedemikian. Hakikatnya, perkara ini bukan hanya bermula di Universiti Malaya tetapi telah lama wujud dalam media arus perdana,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan agak terkilan dengan aktiviti teater yang dipersembahkan oleh pelajar-pelajar terbabit.

Tambah Asmak, beliau tidak kisah sekiranya perkara itu  berlaku di universiti lain, namun apabila ia melibatkan Universiti Malaya yang terdiri daripada pelajar yang cerdik dan pandai serta merupakan antara universiti tertua di Malaysia, ia sepatutnya membawa citra bangsa Melayu dan juga Malaysia ke pentas yang tertinggi.

“Kita memahami bahawa kursus teater universiti ini penuh dengan kesenian serta mempunyai latar belakang akademik dan sejarah yang kuat. 

“Namun apabila perkara seperti ini berlaku dan melibatkan pelajar Universiti Malaya, bagi saya ia adalah sesuatu yang tidak patut. 

“Sebagai seorang alumni Universiti Malaya, saya berasa malu. Sepatutnya seni diangkat dalam bentuk citra Melayu dan Malaysia yang lebih bermutu tinggi, selari dengan kedudukan universiti tersebut sebagai antara yang terkemuka di Malaysia,” ujarnya.

Beliau menyatakan, Malaysia  mempunyai ramai tokoh dan individu dalam fakulti media dan teater di Malaysia yang hebat serta ingin membawa perubahan dan memperjuangkan citra Melayu dan Malaysia. 

“Oleh itu, kita perlu mula berfikir bagaimana untuk mengembalikan kegemilangan kesenian yang benar menurut Islam dan Melayu,” katanya.

Dalam pada itu, Asmak juga melahirkan kebimbangan untuk menghantar anak belajar ke fakulti sebegini sekiranya suasana dan budaya seperti ini berterusan, apatah lagi ia berlaku di universiti yang terkemuka dan antara yang terlama di Malaysia. 

Beliau menyatakan, perkara ini perlu difikirkan secara serius dan pihak pentadbiran Universiti Malaya perlu mengambil tindakan sewajarnya.

“Kita bimbang sekiranya perkara ini akan menjadi normalisasi yang lebih teruk pada masa akan datang.

“Saya juga mempunyai pengalaman di Universiti Malaya di mana program keagamaan seperti usrah sukar dilaksanakan. 

“Program ilmiah seperti forum kadangkala tidak dibenarkan kerana dibimbangi mempunyai unsur ekstrem atau politik. Namun dalam masa yang sama, program berbentuk kesenian, hiburan dan nyanyian dilihat diberi kelonggaran,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru pihak Universiti Malaya agar bermuhasabah kerana kebelakangan ini terdapat banyak isu yang timbul berkaitan universiti tersebut. 

Terdahulu, sejak semalam, satu persembahan teater yang didakwa dipentaskan di sebuah dewan di UM menjadi tular di media sosial apabila dikatakan memaparkan adegan ghairah di atas katil dan ramai kalangan netizen mendakwa, ia berunsur ‘soft porn’ dan tidak sepatutnya berlaku di sebuah institusi pengajian berprestij itu.

Isu tersebut turut menarik perhatian pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mempersoalkan kewajaran mengenai isu berkenaan menerusi kenyataan di media sosialnya, dengan menimbulkan persooalan adakah negara ini mahu melahirkan generasi yang berpendidikan tinggi tetapi rendah akhlaknya.

Susulan itu, pihak UM telah mengeluarkan kenyataan memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku serta sebarang kegusaran yang timbul, sambil menegaskan persembahan teater yang turut menyelitkan adegan intim ‘soft porn’ atas katil dalam pertandingan Karnival Teater (Karviter) di Universiti Malaya (UM) itu didapati tidak selaras dengan skrip asal yang dipertandingkan.

Kenyataan itu juga menegaskan pihak UM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pelanggaran garis panduan program, dan persembahan berkenaan telah diputuskan sebagai tidak layak untuk dinilai, dan tindakan susulan sedang dilaksanakan bagi memperkukuh pemantauan agar kejadian sama tidak berulang pada masa hadapan. – HARAKAHDAILY 16/4/2026

- Advertisement -