Perak Sejahtera 2030: Realiti atau sekadar retorik?

Dari bajet ke sawah: Janji tak sampai ke lapangan

- Advertisement -

IPOH: Kerajaan negeri diingatkan supaya memastikan gagasan Perak Sejahtera 2030 tidak sekadar menjadi slogan retorik, sebaliknya dilaksanakan secara realistik dan berpijak di bumi nyata.

- Advertisement -

Ustaz Muhammad Hakimi Hamzi Mohd Hayat (PN-Titi Serong) berkata, kerajaan negeri wajib melaksanakan tata kelola pentadbiran yang baik, pengurusan sumber secara efisien serta memahami aspirasi rakyat.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan kerajaan benar-benar bergerak secara realistik, bukannya berasaskan angan-angan yang tidak selari dengan kehidupan sebenar rakyat.

“Kita tidak mahu Perak Sejahtera 2030 menjadi sekadar slogan retorik yang tidak membumi seperti janji angkat sumpah jadi kerajaan, ‘hari ini (menang), esok harga minyak turun’. Contoh, yang sudah menjadi bahan jenaka rakyat seluruh generasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Sultan Perak sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat pada Persidangan Dewan Negeri di Bangunan Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai defisit keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri, yang menurutnya berpunca daripada kelemahan tata kelola sehingga memberi beban serta kerugian langsung kepada rakyat.

“Rakyat tidak menolak adanya peningkatan kos, namun yang menghairankan ialah kenaikan yang menggila,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau mengakui dunia sedang berdepan cabaran krisis global yang memberi kesan rantaian termasuk kepada Malaysia dan negeri Perak.

Sehubungan itu, katanya, usaha mencapai Perak Sejahtera 2030 perlu diurus dengan baik serta berlandaskan prinsip ketelusan, kemahiran dan kecaknaan seperti yang dititahkan oleh Sultan Perak.

Mengulas lanjut, beliau menarik perhatian kepada isu kelemahan tata kelola kerajaan negeri yang menjejaskan kebajikan rakyat, khususnya pesawah di kawasan Kerian, Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Serong.

Katanya, pesawah sekali lagi berdepan bebanan susulan masalah penyelenggaraan saliran yang tergendala, selepas sebelum ini diuji dengan isu tanah jerlus dan pemotongan pemutuan yang disifatkan tidak munasabah oleh kartel-kartel.

Menurutnya, hasil tinjauan di lapangan mendapati kelewatan penyelenggaraan berpunca daripada kelewatan kerajaan melantik syarikat konsesi baharu selepas tempoh kontrak terdahulu tamat pada awal Mac lalu.

“Kita dah putuskan dalam bajet 2026 yang lalu ada kenaikan itu dan ini. Jadual ini sepatutnya diselenggara, tiba-tiba tak boleh diselenggara disebabkan syarikat konsesi tamat. Eh tak tahukah tamat? Takkan tak tahu perkara sebesar ini?

 “Inilah yang saya katakan, kita gah bercakap Perak Sejahtera 2030 yang berbaki empat tahun lagi.

“Tetapi kerajaan masih gagal untuk menguruskan perkara sekecil ini untuk rakyat sedangkan peruntukannya telah pun diluluskan dalam bajet,” bidas beliau..

Beliau berkata, kegagalan mengurus perkara tersebut memberi kesan bukan sahaja kepada pesawah, malah kepada kakitangan agensi kerajaan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) yang terpaksa berdepan kemarahan rakyat.

“Kesian kepada kakitangan kerajaan JPS, IADA, pertanian semua yang ada di belakang saya depan saya ni. Rakyat dah tak tahu dah depa nak tuding jari kepada siapa semua depa tunjuk, semua kena maki hamun.

“Kesian kakitangan JPS, IADA terutamanya depa cakap kat saya, ‘kami tak boleh nak buat apa. Syarikat konsesi tak dilantik lagi’. Rakyat pesawah kita di luar sana tak faham,” imbas beliau.

Selain itu, katanya, pesawah turut terjejas apabila terpaksa bergotong-royong membersihkan saliran sendiri bagi memastikan bekalan air mencukupi, walaupun kerja berkenaan sepatutnya dilaksanakan oleh agensi berkaitan.

 “Benih dah tabur, benih dah serak, serak, kering, berisiko untuk rosak, yang Parit Buang pula penuh dengan keladi, air nak lalu tak boleh. 

“Benih dah lama dalam air, risiko mati, tak apalah, di begitu. Kita takut nanti berlaku pula di (tempat lain termasuk) Kuala Kurau, DUN Alor Pongsu dan sebagainya sampailah di Selinsing.

“Kita takut. Maka segeralah. Saya tak tahu bagaimana pihak kerajaan usahalah bagaimanapun,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri supaya menyegerakan pelantikan dan kerja penyelenggaraan, selain mempertimbangkan pemberian insentif tambahan kepada pesawah yang terjejas.

“Kerajaan juga perlu turun padang untuk menyantuni golongan terbabit yang terpaksa mengeluarkan kos dan tenaga sendiri demi kelangsungan hidup,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/4/2026

- Advertisement -