‘Dulu USD148 setong RM2, kini USD100 tapi RM6.72’

Gunakan rizab Perak lebih RM500 juta bantu rakyat

Razman Zakaria
- Advertisement -

IPOH: Razman Zakaria (PN-Gunung Semanggol) meminta kerajaan negeri menjelaskan kepada rakyat berhubung kenaikan harga diesel yang disifatkannya tidak selari dengan harga minyak dunia.

- Advertisement -

Beliau berkata, berdasarkan perbandingan pada tahun 2008, harga minyak dunia mencecah USD148 setong, namun harga diesel di pam ketika itu sekitar RM2 seliter.

“Sedangkan pada masa ini harga minyak dunia sekitar USD100 setong, pernah mencecah USD120 dan kini turun sekitar USD80, tetapi harga di pam mencecah RM6.72 seliter.

“Apa justifikasi yang dibuat menyebabkan harga di pam begitu tinggi? Kami tidak faham dan tidak mempunyai maklumat. Kami juga tidak mahu rakyat terkeliru, jadi mohon penjelasan,” hujahnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Sultan Perak sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat pada Persidangan Dewan Negeri di Bangunan Darul Ridzuan, di sini semalam.

Razman yang juga Ketua Pembangkang Perak turut memohon kerajaan negeri mempertimbangkan penggunaan rizab negeri yang menurutnya melebihi RM0.5 bilion bagi membantu meringankan beban rakyat.

“Dalam keadaan ini, kerajaan perlu memikirkan untuk mengambil dan menggunakan seluruh simpanan ataupun rizab yang ada (untuk membantu rakyat). 

“Kerajaan Madani Perak kalau benar-benar prihatin dalam penderitaan rakyat, hendaklah kita mencari jalan bagaimana untuk mengguna dan membantu meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat pada masa ini,” tegasnya.

Beliau turut menyatakan kesediaan pihak pembangkang untuk membantu kerajaan, namun memerlukan maklumat yang jelas bagi disampaikan kepada rakyat.

Selain itu, Razman mempersoalkan kesan hubungan baik Malaysia dengan Iran, termasuk kenyataan bahawa kapal Malaysia boleh melalui Selat Hormuz tanpa tol, terhadap harga minyak domestik.

“Sepertimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri mengatakan ada hubungan baik dengan Iran, dengan satu telefon mengatakan bahawa kapal Malaysia boleh lalu Selat Hormuz tanpa tol.

“Apa kesannya kepada harga minyak kita kalau boleh lalu? Tak seperti negara-negara lain. Jadi kenapa kita ni melonjakkan pada hari harga minyak negara kita?

“Kami tak faham. Kami tak mahu dibelit-belitkan. Kita kena jelas. Kalau dah kapal kita boleh lalu Selat Hormuz, orang lain tak boleh lalu, orang lain.

“Kalau lalu kena lalu kena tol, kemudian boleh lalu sampai kat kita harga kita mahal. Tak boleh nak jawab dengan akal kita,” katanya.

Beliau juga membangkitkan isu keuntungan industri minyak dan gas negara, termasuk hasil yang dijana syarikat petroleum nasional, yang menurutnya sepatutnya dapat dikongsi bagi membantu rakyat.

“Kenapa keuntungan yang besar itu tidak boleh dikongsi dengan rakyat yang menderita pada hari ini” soalnya

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan perbezaan harga diesel antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak yang menurutnya masih lebih rendah.

“Bagaimana di bawah pemerintahan yang sama, negeri yang sama, kita RM6.72 satu liter diesel, Sabah dan Sarawak masih kekal dengan harga yang sama RM2 lebih. Apa ni? 

“Tolong terangkan! Bukan kita nak menyalahkan. Mungkin kerajaan ada sebab dia. Tapi akal yang waras rakyat tak boleh terima. Tak boleh terima. Tolong terangkan,” katanya.

Razman turut meminta penjelasan berhubung laporan akhbar berhubung dengan penghantaran minyak dari Malaysia ke Filipina ketika negara berdepan keperluan bekalan domestik.

“Perkara ini menimbulkan kekeliruan apabila terdapat kenyataan bercanggah mengenai isu berkenaan dan memerlukan penjelasan supaya rakyat memahami keadaan sebenar,” katanya.  – HARAKAHDAILY 16/4/2026

- Advertisement -