
ALOR SETAR: Langkawi perlu dikembalikan semula sebagai pulau bebas cukai bagi menghidupkan ia sebagai pulau pelancongan yang menjana sebahagian besar ekonomi di wilayah utara dan Kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kerajaan Negeri bersedia membantu memberi pandangan serta berbincang bersama Kerajaan Persekutuan dan agensi-agensi berkaitan untuk merancakkan kembali ikon bebas cukai di pulau berkenaan.
Langkawi katanya, pernah mencatat kehadiran sehingga tiga juta pelancong sebelum negara dilanda pandemik COVID-19, namun masih merosot selepas itu, malah tetap bersituasi sama apabila sektor pelancongan digerak serta dibuka semula di Pulau Lagenda itu pada 2024.
“Perlu banyakkan lagi barangan bebas cukai dan premis-premis bebas cukai. Barulah pelancong nak mai (mari) Langkawi. Kalau mai tapi tak boleh bawa balik barang yang dibeli kerana kena cukai, baik beli sini (tanah besar).
“Jadi kena bangkitkan semua Langkawi sebagai ikon bebas cukai negara. Beri peluang kepada orang ramai khususnya pelancong domestik beli barang dengan harga murah dan bawa balik ke tanah besar,” ujar beliau.
Sanusi berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas berakhir Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar penambahan penjualan kereta-kereta mewah di pulau itu diaktifkan semula untuk memberi peluang golongan kaya berbelanja dan meluangkan masa di sana.
Andai masalah ketirisan katanya, menjadi penyebab aktiviti itu dikurangkan, tindakan penguatkuasaan perlu diaktifkan serta laksanakan undang-undang sedia ada untuk mengatasi masalah tersebut.
“Laksanakan peraturan sedia ada, bukan sahaja kereta mewah malah motosikal mewah pun boleh dibeli. Orang kaya duit banyak, kita nak orang kaya berbelanja. Jangan suruh dia taruh (simpan) duit dia.
“(Kalau disimpan) dia dapat seorang saja la. Kalau dibelanja duit akan pergi kepada orang ramai. Bila benda yang depa (mereka) nak spend (guna) tak ada, mereka tak mai la. Tak mai tu lah yang merugikan Langkawi,” ujarnya lagi.
Kata Ahli Dewan Undangan Jeneri itu lagi, Langkawi mempunyai seramai 120,000 penduduk di mana 90 peratus daripadanya terlibat dengan sektor pelancongan.
Ketika pandemik COVID-19 dahulu maklum beliau, mereka yang terlibat dengan sektor pelancongan ini hilang pendapatan dan berdepan dengan masalah untuk mencari punca pendapatan.
“Mereka ni tak tau nak buat apa. Bot pi ke laut pun tak ada, nak jadi nelayan pun tak tau dah. Tanam sayur pun tak reti dah, padi pun tak buat dah.
“Jadi apabila sektor pelancongan ini dirangsang semula dengan mengembalikan status Langkawi sebagai pulau bebas cukai, secara tidak langsung memberi sinar kepada mereka ini,” katanya lagi.
Selain turut menyentuh hal tersebut pada ucapan penggulungannya, Sanusi juga memaklumkan, cadangan tersebut sebagai menyahut saranan Tuanku Sultan Kedah.
Baginda bertitah agar Langkawi dikembalikan semula sebagai destinasi pelancongan utama di Kedah dan juga negara. – HARAKAHDAILY 16/4/2026











