‘Ini bukan soal keselesaan tapi keselamatan rakyat’

- Advertisement -

TEMERLOH: “Ini bukan lagi soal keselesaan, tetapi soal keselamatan dan maruah hidup rakyat,” kata Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor.

- Advertisement -

Beliau yang meninjau keadaan jalan di Kampung Paya Tambang dan Kubang Puyu, berkata hatinya benar-benar tersentuh melihat keperitan yang ditanggung penduduk. (Foto atas)

“Jalan yang rosak teruk, berlubang dan berbahaya ini bukan perkara baharu, sudah hampir tiga tahun mereka berdepan dengan kesulitan yang sama tanpa penyelesaian tuntas.

“Lebih menyedihkan, ada dalam kalangan penduduk yang terjatuh dan cedera,” ujarnya dalam hantaran menerusi laman sosialnya, hari ini.

Menurutnya lagi, tidak kurang juga penduduk yang terpaksa meninggalkan kenderaan di Masjid Kampung Raja, kemudian menyambung perjalanan menaiki motosikal demi sampai ke rumah.

“Bayangkan kesukaran warga emas, kanak-kanak dan ibu mengandung yang terpaksa melalui laluan ini setiap hari,” tambahnya yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang.

Beliau berkata, apabila musim hujan, keadaan menjadi lebih parah kerana laluan itu berlumpur, licin dan mengundang bahaya pada bila-bila masa.

“Ini bukan lagi soal keselesaan, tetapi soal keselamatan dan maruah hidup rakyat yang perlu diberi keutamaan,” ujarnya susulan aduan penduduk terbabit.

Sehubungan itu, beliau akan memanjangkan segera aduan itu kepada pihak berwajib dan mendesak tindakan segera diambil.

“Jangan tunggu sehingga berlaku kejadian yang lebih buruk baru kita mahu bertindak.

Penduduk di sini berhak menikmati kemudahan asas yang selamat seperti yang lain,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 16/4/2026

- Advertisement -