Huffaz perlu di saf hadapan pimpin ummah

Perkukuh kesatuan umat Islam, perkasakan kefahaman siyasah syar’iyyah dalam kalangan masyarakat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Golongan huffaz perlu memainkan peranan lebih besar dalam memperkukuh kesatuan umat Islam serta memperkasakan kefahaman siyasah syar’iyyah dalam kalangan masyarakat.

- Advertisement -

Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, para huffaz tidak boleh hanya dilihat sebagai pembaca al-Quran semata-mata, sebaliknya perlu berada di saf hadapan dalam memimpin ummah berteraskan petunjuk wahyu.

“Para huffaz perlu berada di saf hadapan dalam memimpin ummah, bukan sekadar menjadi pembaca al-Quran, tetapi sebagai golongan yang mampu membimbing masyarakat berdasarkan petunjuk wahyu.

“Sudah tiba masanya para penghafaz al-Quran yang dilengkapi dengan pelbagai kepakaran hasil gabungan sistem pendidikan kita seperti tahfiz qiraat dan tahfiz sains tampil ke hadapan memimpin harapan ummah,” katanya.

Menurut beliau, kelebihan yang dimiliki oleh para penghafaz al-Quran sewajarnya dimanfaatkan untuk membimbing masyarakat memahami Islam secara lebih menyeluruh, khususnya dalam mendepani cabaran sosial dan politik semasa.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Tahfiz Kali Ke-16 bagi tahun 2025 anjuran Yayasan Islam Kelantan (YIK) di Dewan YIK, di sini, hari ini, yang menyaksikan seramai 432 hafiz dan hafizah diraikan selepas berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat dan Pengarah YIK, Samsul Abu Bakar.

Sehubungan itu, Mohd Nassuruddin menyatakan, isu kesatuan dan perpaduan umat Islam yang semakin membimbangkan ketika ini menuntut tindakan secara berjemaah bagi mengukuhkan kuasa politik Islam dan mencelikkan ummah mengenai kepentingan siyasah syar’iyyah.

“Kerja besar itu tidak boleh dipikul oleh segelintir pihak sahaja, sebaliknya memerlukan dokongan semua pihak termasuk golongan huffaz yang memahami hakikat perjuangan Islam.

“Siapa lagi yang perlu bertindak kalau bukan kita. Kerja besar ini hendaklah digerakkan secara berpasukan iaitu secara berjemaah untuk mengukuhkan kuasa politik Islam dan menggerakkan kesatuan umat Islam.

“Golongan huffaz tidak boleh hanya menjadi penonton dan pemerhati dari jauh, apatah lagi sekadar pengkritik sahaja,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan, Kelantan yang dipimpin berteraskan dasar Membangun Bersama Islam selama lebih 35 tahun memerlukan kesinambungan sokongan generasi al-Quran bagi memastikan perjuangan tersebut terus terpelihara. – HARAKAHDAILY 16/4/2026

- Advertisement -