
KUALA LUMPUR: Sebanyak 168 kontena bantuan kemanusiaan bakal dihantar ke Iran menerusi inisiatif Shajarah Tayyibah sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia terhadap penderitaan yang dialami rakyat negara itu.
Duta Besar Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi berkata, Kempen Shajarah Tayyibah 168 merupakan inisiatif bagi menyampaikan sumbangan rakyat Malaysia kepada Kerajaan Republik Islam Iran.
“Inisiatif Shajarah Tayyibah itu dilihat sebagai manifestasi semangat kemanusiaan sejagat, selain memperkukuh peranan Malaysia dalam menyuarakan solidariti terhadap krisis antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan cek sumbangan anjuran Pusat Kebudayaan Kedutaan Republik Islam Iran di Malaysia dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, hari ini.
Menurut beliau, kempen berkenaan menyasarkan penghantaran sebanyak 168 kontena bantuan ke Iran, selaras dengan bilangan pelajar Sekolah Rendah Shajarah Tayyibah yang dilaporkan syahid pada hari pertama pengeboman oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
“Proses penyerahan sumbangan melalui cek oleh NGO pada hari ini merupakan penyerahan fasa pertama, kedua dan ketiga, dengan beberapa lagi penyerahan susulan akan dibuat sehingga mencapai keseluruhan 168 cek,” katanya.
Beliau menjelaskan, setiap kontena bantuan dianggarkan bernilai kira-kira RM40,000, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan mencecah jutaan ringgit hasil sumbangan pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.
“Setiap cek tersebut akan mewakili seorang syahid dalam kalangan pelajar yang terkorban dalam serangan bom yang berlaku pada bulan Ramadan lalu,” katanya pada majlis di Pusat Kebudayaan Republik Islam Iran, Ampang, di sini pagi tadi.
Tambah beliau, setiap kontena yang dihantar bukan sekadar bantuan material, sebaliknya membawa makna simbolik sebagai tanda penghormatan dan solidariti rakyat Malaysia terhadap 168 kanak-kanak yang terkorban.
“Ini bukan sekadar bantuan material, tetapi simbol kasih sayang dan solidariti rakyat Malaysia terhadap 168 kanak-kanak yang telah terkorban,” katanya mengenai bantuan merangkumi keperluan asas seperti makanan, ubat-ubatan dan barangan harian bagi membantu meringankan beban rakyat terjejas.
Terdahulu, insiden serangan ke atas Sekolah Rendah Shajarah Tayyibah di Minab, Iran pada hujung Februari lalu dilapor mengorbankan ratusan pelajar perempuan yang sedang mengikuti sesi pembelajaran.
Serangan udara oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel itu mencetuskan kemarahan serta kesedihan di peringkat antarabangsa, selepas laporan menyatakan 168 pelajar berusia antara tujuh hingga 12 tahun terkorban dalam kejadian tersebut.
Tragedi berkenaan turut digambarkan sebagai antara insiden paling menyayat hati dalam konflik tersebut, apabila bangunan sekolah musnah ketika waktu persekolahan berlangsung, menyebabkan ramai murid terperangkap di bawah runtuhan.
Serangan AS dan Israel ke atas Iran turut mengorbankan beberapa pemimpin tertinggi Iran, termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei. – HARAKAHDAILY 16/4/2026












