Ahmad’s Fried Chicken lancar ‘outlet’ pertama

Di Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Jenama makanan segera tempatan, Ahmad’s Fried Chicken terus mengorak langkah apabila secara rasmi melancarkan pembukaan ‘outlet’ pertamanya di Kelantan di Tunjong, di sini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pembukaan outlet berkenaan bukan sahaja memberi nilai tambah kepada sektor perniagaan, malah turut menyokong pembangunan ekonomi setempat melalui peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, khususnya anak Kelantan.

- Advertisement -

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa komited dalam menyediakan persekitaran mesra perniagaan termasuk sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memastikan ekosistem ekonomi negeri terus berkembang secara mampan.

“Kerajaan negeri mahu memastikan setiap pembangunan dan pelaburan yang masuk ke Kelantan memberi manfaat terus kepada rakyat, khususnya dari sudut peluang pekerjaan dan penglibatan usahawan tempatan,” katanya ketika merasmikan outlet berkenaan di Bandar Baru Tunjong, di sini.

Beliau menyatakan, pembangunan Bandar Baru Tunjong yang dirancang melalui Rancangan Kawasan Khas 2035 turut menjadi asas penting kepada pertumbuhan kawasan itu sebagai hab ekonomi dan pentadbiran baharu negeri.

Katanya, konsep pembangunan ‘Smart Islamic City’
yang diterapkan di Tunjong menggabungkan kemajuan teknologi dengan nilai Islam bagi mewujudkan bandar yang seimbang dari sudut ekonomi, sosial dan spiritual.

“Kehadiran pelbagai agensi kerajaan serta projek strategik termasuk stesen ECRL dijangka memperkukuh lagi kedudukan Tunjong sebagai pintu masuk baharu ke negeri Kelantan,” ujarnya.

Jenama ini merupakan perniagaan milik penuh Bumiputera Muslim di bawah syarikat Ahmads Fast Food Sdn. Bhd. yang diasaskan Mohd Taufik Khairuddin dan isterinya, Lailatul Sarahjanna Mohd Ismail.

Ia telah memulakan perniagaan dengan konsep wagon di Senawang sebelum membuka restoran fizikal pertamanya di Sungai Besar, Selangor; dan sejak itu berkembang pesat dengan 30 cawangan berjaya dibuka di seluruh Malaysia dalam tempoh tujuh bulan pertama.

Dalam perkembangan berkaitan, syarikat ini dalam kenyataanya berkata, ia turut memperkenalkan inovasi baharu menerusi pembangunan sistem ‘Ahmads OS’ yang berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang kini berada di peringkat akhir pembangunan.

“Sistem itu menggabungkan pengurusan pesanan pelanggan, operasi dapur, perancangan permintaan serta penggunaan AI Agent bagi meningkatkan kecekapan operasi,” ujar kenyataan itu.

Tambahnya, ia juga turut mengekalkan komitmen terhadap konsep Menu Rahmah dengan menawarkan ayam goreng pada harga RM4.99, serta memperkenalkan menu baharu Mad Long Sausage Classic pada harga sama.

“Pendekatan harga berpatutan itu dilihat sebagai usaha membantu rakyat berdepan kos sara hidup, di samping mengekalkan kualiti makanan segera tempatan.

“Sehubungan itu, pembukaan outlet pertama di Kelantan itu dijangka menjadi pemangkin kepada pengembangan lebih besar jenama berkenaan termasuk perancangan pembinaan ‘outlet drive thru’ pertama di Malaysia pada masa hadapan,” jelas kenyataan itu.- HARAKAHDAILY 14/4/2026

- Advertisement -