Isu BoP: Prabowo terperangkap antara Washington dan rakyat

- Advertisement -

JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto kini berdepan tekanan berganda, antara mempertahankan keputusan strategiknya di pentas global dan meredakan gelombang bantahan domestik susulan langkah kontroversi menyertai Lembaga Keamanan atau Board of Peace (BoP) yang diterajui Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

- Advertisement -

Keputusan yang dibuat pada 22 Januari 2026 itu pada awalnya dilihat sebagai usaha Jakarta memperkukuh peranan sebagai kuasa pertengahan serta menyumbang kepada keamanan global.

Namun, perkembangan geopolitik semasa khususnya konflik melibatkan serangan AS dan Zionis Israel terhadap Iran telah mengubah persepsi awam secara ketara.

Lebih memburukkan keadaan, kematian tiga anggota pengaman Indonesia di Lubnan hujung Mac lalu mencetuskan kemarahan rakyat dan memperluas kritikan terhadap penglibatan negara itu dalam BoP.

BoP yang asalnya ditubuhkan untuk menyelia pembinaan semula pasca konflik di Semenanjung Gaza kini dilihat semakin dipersoalkan, termasuk oleh ahli politik dalam gabungan pemerintah sendiri yang menggesa semakan semula keahlian Indonesia.

Pensyarah Hubungan Antarabangsa Universiti Presiden Indonesia, Teuku Rezasyah dalam kenyataannya kepada CNA menyifatkan badan itu sebagai ‘Lembaga Masalah’, mencerminkan perubahan sentimen yang semakin negatif dalam kalangan elit akademik dan politik.

Data tinjauan turut mengukuhkan gambaran tersebut berdasarkan kajian oleh gabungan tiga syarikat penyelidikan Indonesia terdiri daripada Indikator Politik Indonesia, Institut Tinjauan Indonesia (LSI) dan Saiful Mujani Research and Consulting (SMRC) mendapati 50.9 peratus daripada lebih 1,000 responden menolak penyertaan Indonesia dalam BoP, berbanding hanya 33.8 peratus yang menyokongnya.

Trend penolakan itu sebenarnya sudah bermula lebih awal, sejak Februari lalu menerusi kajian oleh Media Survey Nasional (Median) yang menunjukkan 50.4 peratus responden tidak bersetuju dengan keahlian tersebut, manakala sokongan hanya berada pada 34.8 peratus.

Tinjauan terbaharu yang dijalankan antara 12 hingga 31 Mac 2026 itu sebahagiannya dibuat sebelum insiden kematian anggota pengaman Indonesia pada 29 dan 30 Mac; sekali gus memberi petunjuk bahawa tahap penolakan sebenar mungkin lebih tinggi.

Siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati satu projektil daripada kereta kebal Israel menjadi punca kematian seorang anggota pengaman Indonesia, manakala dua lagi terbunuh keesokan harinya dalam konflik terbaharu antara Israel dan Hizbullah yang meletus sejak 2 Mac 2026.

Kematian tiga anggota pengaman Indonesia itu yang pertama dalam kalangan pasukan pengaman PBB itu justeru telah meluaskan kritikan terhadap penyertaan BoP Indonesia itu.

Menurut pakar hubungan antarabangsa Universiti Indonesia, Agung Nurwijoyo, manfaat strategik penyertaan dalam BoP masih kabur, sekali gus menjadikan tentangan awam sesuatu yang ‘boleh difahami’. – HARAKAHDAILY 14/4/2026

- Advertisement -