
KUALA TERENGGANU: PAS menyeru supaya ahlinya menggerakkan kerja parti di peringkat akar umbi secara lebih agresif walaupun telah menjadi kerajaan di beberapa negeri kerana parti mensasarkan untuk memerintah Malaysia.
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata, justeru itu jentera parti perlu melipatgandakan gerak kerjanya agar matlamat itu dicapai dengan jayanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Berkelompok Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan PAS di Markas Tarbiah PAS Kawasan Kuala Terengganu di Kuala Ibai, di sini kelmarin.

Turut hadir Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Setiausaha PAS Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah dan Timbalan Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Dato’ Mohd Nor yang juga Bendahari PAS Terengganu turut berkata, ahli PAS perlu mengambil contoh gerak kerja perjuangan rakyat Palestin yang berterusan tanpa henti walaupun mereka terus dizalimi dan ditindas oleh rejim Zionis Israel.

“Betapa jauhnya perbezaan kita (ahli PAS) dengan perjuangan mereka, betapa sedikitnya pengorbanan kita sedangkan betapa perjuangan ini begitu panjang yang mesti kita lalui,” tambahnya.
Beliau yang turut merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk berkata, perjuangan panjang ini telah digerakkan oleh PAS di atas tiga agenda utama termasuk siasah, dakwah dan tarbiah.
Justeru beliau menasihatkan ahli PAS supaya tidak terlalu menumpukan kepada aktiviti politik semata-mata sehingga terlupa kepada memperkasakan dakwah dan tarbiah.
“Jangan kita teralu fokus kepada dakwah sehingga kita lupa kepada kerja tarbiah kerana tiga rangkaian ini saling kuat, saling berkaitan antara satu sama lain yang perlu kita gerakan,” jelasnya.
Ini kerana katanya, PAS bukan sahaja berhasrat ingin menang di dunia, tetapi ingin juga mencapai kemenangan di akhirat.
“Oleh itu usaha perlu dilipatganda dan ketiga-tiga agenda tersebut perlu disepadukan agar hasrat itu dapat dicapai dengan sebaik mungkin,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 14/4/2026











