Kematian pelajar di sekolah: ‘Jangan terburu tuding jari’

- Advertisement -

KOTA BHARU: Orang ramai diminta supaya tidak terburu-buru menuding jari susulan insiden kematian seorang pelajar dalam insiden kemalangan yang berlaku baru-baru ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kejadian tersebut amat menyedihkan dan semua pihak perlu melihatnya sebagai satu takdir yang tidak dijangka.

- Advertisement -

Katanya, kerajaan negeri turut bersimpati bukan sahaja kepada keluarga mangsa, malah kepada guru yang terlibat yang dipercayai tidak sengaja dalam kejadian tersebut.

“Kita sangat sedih dengan apa yang berlaku dan bersimpati kepada keluarga mangsa. Dalam masa sama, kita juga memahami keadaan guru yang terlibat, sudah pasti ia tidak disengajakan,” katanya dalam sidang media selepas majlis Perasmian Outlet Ahmad’s Fried Chiken, di sini.

Menurutnya, perkara yang sama boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, di mana-mana termasuk di kawasan yang kita anggap selamat seperti sekolah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden kematian pelajar yang dilanggar oleh seorang guru di sebuah sekolah di sini yang mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

Tambahnya, semua pihak perlu sentiasa berwaspada dan mematuhi peraturan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Oleh itu, saya ingin menasihatkan semua agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan dalam apa jua keadaan,” katanya.

Mengulas lanjut, ujar beliau, masyarakat khususnya pengguna media sosial diminta menjaga sensitiviti serta tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengguris perasaan keluarga mangsa.

“Jangan kita cepat menyalahkan mana-mana pihak. Dalam situasi ini, kita perlu lebih berhemah dan menjaga perasaan semua pihak yang terlibat,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau turut mendoakan agar keluarga mangsa diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian tersebut. – HARAKAHDAILY 14/4/2026

- Advertisement -