
WASHINGTON: Dalam satu seruan luar biasa terhadap pemimpin global Gereja Katolik, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah menyerang Paus Leo XIV dengan berkata beliau tidak dapat menerima hakikat bahawa seorang Paus yang didakwanya menganggap ‘tidak mengapa bagi Iran untuk memiliki senjata nuklear’.
Kenyataan terbaharu Trump itu terhadap salah seorang pemimpin agama paling berpengaruh di dunia, memburukkan lagi perseteruan yang bermula mengenai serangan jahat AS-Zionis Israel ke atas di Iran bermula 28 Februari 2026 lalu.
“Paus Leo XIV LEMAH dalam Jenayah, dan teruk untuk Dasar Luar Negeri,” tulis Trump di media sosial.
Tidak lama kemudian, Trump bercakap dengan media di Joint Base Andrews pada Ahad, di mana kapal terbang rasminya, Air Force One mendarat.
“Saya tidak fikir dia (Paus Leo XIV) melakukan tugas yang sangat baik. Saya bukan peminat Paus Leo.
“Saya tidak mahu seorang Paus yang menganggap tidak mengapa Iran memiliki senjata nuklear,” katanya.
Ledakan kemarahan Trump itu susulan Paus Leo, yang terdahulu pada Ahad telah mengecam apa yang dilabelkannya sebagai ‘khayalan kemahakuasaan’, yang sedang mencetuskan perang AS-Israel di Iran dan menuntut agar para pemimpin politik berhenti dan merundingkan keamanan.
Paus mempengerusikan upacara di Basilika St. Peter pada hari yang sama AS dan Iran memulakan rundingan bersemuka selama kira-kira 21 jam di Pakistan semasa gencatan senjata yang rapuh dan akhirnya gagal mencapai kata sepakat pada saat-saat akhir itu.
Dalam salah satu seruan paling bersemangat beliau setakat ini, untuk menamatkan konflik yang sedang memuncak di Asia Barat, beliau berkata kepercayaan diperlukan bagi menghadapi saat bersejarah yang penuh dramatik ini bersama-sama.
“Cukuplah dengan penyembahan diri sendiri dan wang! Cukuplah dengan pertunjukan kuasa! Cukuplah dengan perang! Kekuatan sebenar ditunjukkan melalui khidmat kepada kehidupan,” tegas Paus Leo.
Paus kelahiran Chicago itu tidak menyebut nama mana-mana negara termasuk AS atau Trump dalam ucapannya itu, tetapi nada dan mesejnya kelihatan ditujukan kepada Trump dan para pegawai AS.
Walaupun disampaikan dalam nada sederhana, kenyataan Paus yang berusia 70 tahun itu bagaimanapun merupakan antara kritikan paling jelas terhadap gelombang konflik yang kini mencengkam dunia.
“Saudara dan saudari yang dikasihi, sememangnya terdapat tanggungjawab yang mengikat pemimpin negara. Kepada mereka kami berseru, ‘Hentikan! Sudah tiba masanya untuk keamanan! Duduklah di meja dialog dan mediasi, bukan di meja yang merancang persenjataan dan memutuskan tindakan maut!’,” ucapnya dalam nada tegas.
Pada 31 Mac 2026 lepas, Paus Leo menegaskan bahawa tuhan tidak menerima doa para pemimpin yang berperang.
“Vatican melabelkan perang ke atas Iran sebagai kejam,” katanya.
Pada 9 Januari lalu pula, Paus Leo juga menegaskan bahawa orang awam di Palestin mempunyai hak untuk hidup dengan aman di tanah kelahiran mereka di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza. –HARAKAHDAILY 13/4/2026




















