
KUALA LUMPUR: Kenaikan harga diesel melebihi 100 peratus sehingga mencecah RM3.68 seliter kini amat membebankan sebilangan besar pengguna, khususnya pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang bergantung kepada bahan api itu untuk operasi harian.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Mohd Hafez Sabri, berkata PMKS bukan sektor kecil yang boleh dipandang ringan, sebaliknya merupakan tulang belakang penting kepada ekonomi negara serta sumber pendapatan jutaan rakyat.
“Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), PMKS menyumbang sebanyak RM652.4 bilion kepada ekonomi negara pada 2024, bersamaan 39.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial, hari ini.
Menurutnya, antara sektor yang paling terkesan akibat kenaikan diesel ialah pembuatan, pertanian, pembinaan dan perkhidmatan.
“Sektor ini pada 2024 melibatkan guna tenaga yang sangat besar iaitu sekitar 1.31 juta pekerja dalam sektor pembuatan, 800,000 dalam pertanian, 678,000 dalam pembinaan serta 5.29 juta dalam sektor perkhidmatan termasuk pelancongan,” katanya.
Tambah Hafez, merujuk kepada skala keterlibatan rakyat dalam sektor-sektor berkenaan, kerajaan sepatutnya lebih tangkas menyediakan solusi dan alternatif bagi melindungi sumber pendapatan, khususnya golongan berpendapatan harian.
Namun, katanya, kerajaan dilihat tidak membawa penyelesaian, sebaliknya menambahkan lagi beban kepada rakyat.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa DPPM membantah sekeras-kerasnya tindakan kerajaan yang seolah-olah menyerahkan sepenuhnya beban kenaikan harga bahan bakar, khususnya diesel, kepada rakyat.
“Peningkatanharga diesel menjadi lebih ketara sejak tercetusnya serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran, yang menyumbang kepada ketidaktentuan harga tenaga serta peningkatan kos bahan api di Semenanjung Malaysia,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Hafez berkata terdapat percanggahan dalam pendekatan kerajaan apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming meminta pemain industri pembinaan agar tidak mengambil kesempatan daripada krisis tenaga global, namun dalam masa sama kerajaan menjadikan krisis itu sebagai alasan untuk menaikkan harga diesel.
“Sikap ini sangat aneh dan bercanggah.
“Hakikatnya, sektor pembinaan antara yang paling awal menerima tempias kenaikan kos kerana harga bahan binaan seperti pasir, batu bata, besi dan kadar upah sangat bergantung kepada kos pengangkutan serta operasi yang bertunjangkan diesel,” ujar beliau.
Menurut Hafez lagi, kesan sama turut dirasai dalam sektor perkhidmatan dan pertanian yang turut bergantung kepada kos operasi berasaskan bahan api tersebut.
Terdahulu, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan melaksanakan penyelarasan semula subsidi bahan api, termasuk diesel, melalui pendekatan subsidi bersasar bagi mengurangkan ketirisan dan beban fiskal negara.
Langkah itu turut diperkukuh dengan operasi penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan serta penyeludupan diesel bersubsidi yang dilaporkan memberi kerugian besar kepada negara.
Pada masa sama, ketidaktentuan harga minyak mentah dunia akibat faktor geopolitik, termasuk konflik di Timur Tengah, telah memberi tekanan kepada kos tenaga global dan seterusnya mempengaruhi harga bahan api domestik.
Perkembangan ini memberi kesan rantaian kepada kos logistik, pengangkutan serta harga barangan dan perkhidmatan, sekali gus meningkatkan tekanan kos operasi, khususnya kepada PMKS yang bergantung kepada penggunaan diesel dalam aktiviti harian mereka. – HARAKAHDAILY 13/4/2026











