Majlis Tamah Ramah Aidilfitri PAS Bintulu meriah

- Advertisement -

BINTULU: Majlis Ramah Tamah Aidilfitri PAS Kawasan Bintulu telah berlangsung dengan penuh meriah, menghimpunkan ahli serta masyarakat setempat dalam suasana ukhuwah dan kegembiraan sempena Syawal di PASTI Nuriman, Jepak, di sini semalam.

- Advertisement -

Majlis tersebut menyaksikan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk pimpinan PAS Negeri Sarawak dan Kawasan, ahli-ahli serta penduduk sekitar yang bersama-sama memeriahkan sambutan Aidilfitri dalam suasana harmoni dan penuh kemesraan.

Antara pimpinan yang hadir ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Sarawak, Ustaz Abdul Halim Abdul Kadir dan Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Sarawak, Achau Mujah.

Juga Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Bintulu, Mohd Sazlan Suili dan Timbalan YDP PAS Bintulu, Fiderus Husaini serta Ketua Pemuda PAS Bintulu, Ariffin Rosli.

Pelbagai juadah hari raya turut disediakan bagi para tetamu yang hadir, menambahkan lagi kemeriahan majlis, di mana antara menu menjadi tarikan ialah Laksa Sarawak, kek lapis, nasi minyak ayam masak merah, kelupis Vaie (Bintulu,) sate, air balang, kuih-muih serta buah-buahan.

Dalam ucapan pimpinan, mereka melahirkan rasa syukur atas penganjuran majlis yang berlangsung dengan begitu meriah, khususnya dengan kehadiran masyarakat sekitar Bintulu terutamanya dari Kampung Jepak.

Turut ditekankan para pimpinan ialah suasana Aidilfitri di Sarawak yang diraikan sepanjang sebulan Syawal merupakan satu keunikan yang harus dihargai.

Penganjuran majlis di kampung ini juga memberi peluang kepada masyarakat untuk merasai kemeriahan Aidilfitri dalam suasana penuh kegembiraan sambil terus mengeratkan silaturahim.

Selain itu, program ini turut menjadi platform penting memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan komuniti setempat serta mencerminkan komitmen PAS Bintulu dalam mendekati masyarakat melalui aktiviti kemasyarakatan yang berterusan.

Majlis berakhir dengan suasana penuh keceriaan dan diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuh lagi hubungan antara masyarakat dan organisasi. – HARAKAHDAILY 13/4/2026

- Advertisement -