
KOTA BHARU: Lebih 1,000 pengusaha bas persiaran di Pantai Timur kini berdepan risiko gulung tikar dalam tempoh dua bulan susulan kenaikan mendadak harga diesel yang mencecah lebih RM6 seliter, sekali gus menyebabkan kerugian hampir RM1 juta akibat pembatalan tempahan.
Pengusaha terbabit yang mengendalikan lebih 5,000 bas di Kelantan, Terengganu dan Pahang mendakwa, mereka kini tersepit apabila pelanggan membatalkan tempahan selepas kadar sewaan terpaksa dinaikkan antara 30 hingga 40 peratus bagi menampung kos bahan api.
Timbalan Presiden Persatuan Bas Pantai Timur (PEBAT), Wan Mohd Nuhairi Wan Hamat berkata, situasi itu menyebabkan kebanyakan syarikat hanya mampu bertahan untuk tempoh singkat sebelum berdepan risiko menutup operasi.
“Kenaikan diesel begitu ketara menyebabkan kami tersepit dan kini hanya mampu bertahan sekitar dua bulan sahaja.
“Bayangkan apabila tambang dinaikkan sehingga 30 hingga 40 peratus, pelanggan terus membatalkan tempahan.
“Sedangkan setiap bulan kami perlu membayar ansuran bas,” katanya ketika ditemui pada himpunan pengusaha dan pemandu bas di Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau merayu campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia bagi meluluskan subsidi diesel untuk memastikan kelangsungan industri tersebut.
Beliau menyatakan, pihak persatuan telah menghantar memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri dan kementerian berkaitan sejak dua minggu lalu, namun masih belum menerima sebarang maklum balas.
Menurutnya, pengusaha bas persiaran tidak layak menerima subsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), sekali gus memaksa mereka menanggung sepenuhnya kos bahan api yang meningkat.
“Pengusaha bas persiaran merupakan penyedia perkhidmatan tempatan, namun tidak termasuk dalam senarai penerima SKDS. Keadaan ini menyebabkan kami terpaksa menyerap kos tinggi untuk terus beroperasi,” katanya.
Beliau turut memberi contoh kenaikan ketara kos operasi apabila kadar sewaan bas bagi perjalanan pergi balik dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur meningkat daripada sekitar RM3,000 kepada RM5,000, sekali gus mendorong ramai pelanggan membatalkan tempahan.
Tambah beliau, keadaan itu bertambah sukar kerana industri tersebut tidak mempunyai pendapatan tetap sepanjang tahun.
“Kami tidak menerima tempahan pada musim tengkujuh, Ramadan, serta awal tahun kerana kekangan bajet sektor pendidikan. Sekurang-kurangnya lima bulan dalam setahun kami tiada pendapatan.
“Bas kini hanya tersadai dan kami sangat berharap kerajaan memberi subsidi untuk kami teruskan operasi,” ujarnya lagi.
Beliau juga kesal dengan senario semasa memandangkan pada kebiasaannya tempahan sekolah untuk program seperti pesta buku sudah penuh, tetapi kini tiada langsung tempahan diterima.
“Justeru, pihak persatuan berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian subsidi diesel pada kadar munasabah seperti dinikmati sektor lain, selain membuka ruang rundingan bagi mencari penyelesaian terbaik demi kelangsungan industri dan kebajikan pekerja,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/4/2026




















