Usaha satukan ummah sering disalah tafsir

Walau matlamatnya jelas demi kebaikan bersama

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Usaha penyatuan ummah tidak sentiasa disenangi apabila terdapat pihak yang tidak selesa melihat umat Islam bergabung dan menjadi kuat.

- Advertisement -

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, perpecahan lebih mudah dikawal, manakala kesatuan umat Islam dianggap ancaman kepada agenda tertentu.

“Usaha menyatukan ummah sering sengaja disalah tafsir, diputar belit dan ditentang walaupun matlamatnya jelas demi kebaikan bersama,” ujar beliau dalam media sosial miliknya.

Beliau berkata, matlamat utama penyatuan ummah adalah untuk mengembalikan kekuatan umat Islam sebagai satu saf yang kukuh.

Menurutnya, dengan kesatuan, Islam dapat ditegakkan secara adil, kebajikan rakyat dapat dibela dan negara dapat diurus berteraskan nilai Islam yang syumul.

Katanya, penyatuan itu bukan jalan singkat, namun merupakan jalan paling selamat dan berkat.

“Penyatuan ummah adalah jalan panjang yang telah lama diperjuangkan dengan penuh konsisten

“Gagasan penyatuan ummah yang dibawa oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bukanlah sesuatu yang baharu dan tidak muncul secara tiba-tiba,” jelasnya.

Beliau menyatakan, ia bermula sejak awal penglibatan Tuan Guru dalam gerakan Islam dan kepimpinan PAS apabila melihat perpecahan umat Islam semakin melebar akibat perbezaan politik, mazhab dan kepentingan sempit.

“Dari situlah lahir kesedaran bahawa umat Islam hanya akan kuat jika kembali bersatu di atas landasan Islam,” ujarnya.

Beliau menegaskan, apa yang diperjuangkan dalam penyatuan ummah bukan sekadar kerjasama politik semata-mata, tetapi penyatuan akidah, pemikiran dan perjuangan.

“Islam dijadikan asas utama, bukan sentimen kaum atau kepentingan kuasa, dengan fokus menyatukan kekuatan umat demi mempertahankan agama, maruah dan masa depan Islam di tanah air,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/4/2026

- Advertisement -